Johor Bahru: Selepas garang membenam New Zealand kelmarin, juara bertahan Piala Sultan Johor, India menerima tamparan apabila tewas 0-2 kepada Britain pada perlawanan kedua semalam.

Skuad bimbingan Harendra Singh itu nyata tidak mampu menghalang corak permainan kemas Britain yang setakat ini cemerlang melakar dua kemenangan berturut-turut termasuk membelasah Pakistan 5-0 kelmarin.

Britain berjaya memecah kebuntuan tujuh minit sebelum berakhir babak pertama menerusi gol padang Benjamin Boon.

Bersambung separuh masa kedua, Samuel French menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-50, juga menerusi gol padang.

"Pemain bermain baik pada separuh masa, tetapi apabila masuk babak kedua, mereka mula melakukan banyak kesilapan.

"Saya tetap puas hati kerana pemain kami masih muda dan kurang berpengalaman," kata Harendra.

Dalam satu lagi perlawanan, Pakistan serta Australia berkongsi satu mata selepas kedua-dua pasukan seri 1-1 semalam.

Muhammad Naveed meletakkan Pakistan di depan pada minit ke-52 hasil gol padang sebelum Australia menyamakan kedudukan menerusi pukulan penalti Andrew Scanlon.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Oktober 2014 @ 5:05 AM