FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Muhammad Saufi Hassan


Wujud kebimbangan berhubung tindakan beberapa negara maju mula melihat potensi teknologi Kecerdasan Buatan (AI) untuk tujuan persenjataan.

  Sebuah portal teknologi antarabangsa melaporkan bahawa Amerika Syarikat (AS) tidak terkecuali dalam melihat potensi teknologi berkenaan untuk diubah menjadi bentuk persenjataan masa depan.

  Pakar industri khususnya firma keselamatan siber tidak bersetuju untuk menjadikan teknologi sebagai persenjataan khususnya pembabitan AI.

 Cybernews melaporkan bahawa tindakan berkenaan amat membimbangkan apabila meletakkan keupayaan teknologi untuk menentukan sasaran.

  Menerusi satu laporan portal berkenaan, keupayaan teknologi berkenaan seharusnya diselia oleh tenaga pakar manusia dan tidak membiarkan automasi robot melaksanakan pemilihan sasaran.

  Kebimbangan itu turut dibincangkan oleh pakar daripada firma keselamatan global iaitu Optiv yang mempertikaikan automasi AI untuk persenjataan.

  Naib Presiden Optiv, James Turgal berkata, perlumbaan persenjataan untuk negara besar sememangnya tidak boleh dielakkan namun perlu ada usaha untuk mitigasi berkenaan.

  Untuk tujuan itu, AS dan China dilaporkan sudah memulakan perbincangan berhubung satu persetujuan untuk usaha mitigasi penggunaan AI dalam persenjataan.

  

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2024 @ 7:28 PM