TRELER membawa muatan kayu balak terbalik di lampu isyarat Persimpangan Bendahara menyebabkan Siti Norelyana parah. FOTO Ihsan Pembaca
TRELER membawa muatan kayu balak terbalik di lampu isyarat Persimpangan Bendahara menyebabkan Siti Norelyana parah. FOTO Ihsan Pembaca
Paya Linda Yahya


Gua Musang: Wanita yang parah selepas dirempuh kayu balak dalam kejadian di lampu isyarat Persimpangan Bendahara, Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini, Selasa lalu, sudah sedarkan diri.

Siti Norelyana Kamarulzaman, 21, kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ) selepas mengalami patah bahagian tulang punggung dan tulang rusuk.

Selain itu, mangsa juga mengalami kecederaan teruk di bahagian hati, limpa, hempedu dan usus akibat dirempuh kayu balak.

Tunang mangsa Nik Amnan Arif Nik Anuwar, 22, berkata dia bersyukur kerana keadaan tunangnya lebih baik dari sebelumnya.

"Alhamdulillah selepas kira-kira lima hari ditidurkan, Siti Nurelyana mula sedar semalam. Dia juga boleh bercakap dengan baik tetapi masih memerlukan masa untuk menggerakkan anggota badan.

"Pergerakan perlu dilakukan dengan perlahan-lahan dan berhati-hati," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Nik Amnan berkata, setakat ini dia tidak dimaklumkan mengenai rawatan selanjutnya yang akan dijalankan ke atas tunangnya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2024 @ 7:02 PM