PEMAIN India Rajinder Singh cuba melepasi pertahanan Australia Foster Brodee. FOTO Bernama
PEMAIN India Rajinder Singh cuba melepasi pertahanan Australia Foster Brodee. FOTO Bernama
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: India muncul juara buat kali ketiga apabila menewaskan Australia 5-4 menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada aksi sebenar final Kejohanan Bawah 21 tahun (B21) Piala Sultan Johor (SOJC) edisi ke-10 di Stadium Hoki Taman Daya, di sini sebentar tadi.

India yang berstatus naib juara pada edisi kesembilan menebus kehampaan 2019 sebelum saingan itu dihentikan selama dua tahun akibat pandemik Covid-19 sekali gus mengulangi kejayaan 2013 dan 2015 sejak saingan SOJC diperkenalkan pada 2011.

Sebaik suku pertama bermula, aksi dua pasukan remaja gergasi hoki dunia itu tampak bersilih ganti menyerang ke kubu masing-masing malah Australia berpeluang mencipta gol pada minit keenam menerusi pukulan sudut penalti tapi dihalang larian pantas pemain India.

Selepas memberi tekanan terhadap benteng Australia, akhirnya skuad kendalian CR Kumar berjaya merungkai jaringan padang pada minit ke-14 apabla Dhami Boby Singh menolak bola kepada Sudeep Chirmako yang tidak dikawal mudah memukul bola menewaskan penjaga gol, Jed Snowden.

India sepatutnya mampu mencipta gol kedua pada minit ke-17 pada suku kedua babak pertama tapi bola tolakan Sharda Nand Tiwari menerusi sudut penalti tinggi melepasi palang gol menyelamat gawang skuad kendalian Jay Stacy dibolosi.

Ketika aksi berbaki seminit untuk ditamatkan pada suku kedua babak pertama, anak didik Stacy bangkit menyamakan jaringan 1-1 selepas Jack Holland mencipa gol padang menewaskan penjaga gol India, Shashikumar Mohith Honnenahalli.

Bersambung suku ketiga babak kedua, pukulan kilas Chirmako yang berada di dalam kawasan D pada minit ke-41 berjaya ditampan Snowden dan kedua-dua pasukan buntu menambah jaringan pada aksi suku keempat sehingga tamat perlawanan yang menyaksikan juara dan naib juara ditentukan menerusi penentuan penalti.

Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Sultan Ibrahim wakil rasmi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menyampaikan hadiah kepada India dan Australia selakui juara dan naib juara pada saingan SOJC.

Sementara itu, Britain mengubat duka selepas gagal mempertahankan kejuaraan dimenangi pada edisi lalu apabila menewaskan Jepun 3-1 untuk menduduki tempat ketiga.

Skuad kendalian Jon Bleby membuka tirai jaringan seawal minit kedua perlawanan yang dijaringkan Fraser Heigh menerusi gol padang disusuli jaringan James Valley selang tiga minit kemudian pada suku pertama babak pertama.

Anak didik Hiroki Watanabe yang memberi tentangan sengit pada perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat itu merapatkan jurang menerusi pukulan sudut penalti kapten Ikumi Saeki pada suku ketiga Bagaimanapun, Britain kembali berkedudukan selesa 3-1 apabila Jamie Golden menjaringkan gol padang pada minit ke-50 suku keempat babak kedua yang juga gol kemenangan anak didik Bleby untuk meraih tempat ketiga kejohanan SOJC.

KEPUTUSAN

Tempat 5/6

Malaysia 2 3 Afrika Selatan

Tempat 3/4

Britain 3 1 Jepun

Final

Australia 1 1 India

(india menang penentuan penalti 5-4)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Oktober 2022 @ 10:43 PM