KETUA Penerangan Pas Pulau Pinang Muhammad Fawwas Mohamad Jan.
KETUA Penerangan Pas Pulau Pinang Muhammad Fawwas Mohamad Jan.
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Video klip promosi sambutan George Town Festival (GTF) 2024 yang didakwa hanya mempromosikan kebudayaan kaum Cina dan India seakan menafikan semangat perpaduan yang sebenarnya kerana budaya masyarakat Melayu di negeri ini tidak dipromosikan.

Ketua Penerangan Pas Pulau Pinang Muhammad Fawwaz Mohamad Jan berkata, pihaknya kesal dengan perkara berkenaan yang berlaku.

Sehubungan itu, Muhammad Fawwaz meminta kerajaan negeri mengambil perkara berkenaan secara serius selain tindakan terhadap pihak berkaitan supaya keharmonian rakyat di negeri Pulau Pinang terus terjaga.

"Besar harapan dari Pas Pulau Pinang supaya Kerajaan Negeri tidak membenarkan mana-mana pihak menganak tirikan kaum Melayu dan tidak hanya sekadar menjadikan 'Kerajaan Perpaduan' sebagai kata-kata pemanis bicara.

"Jadi, bilakah kerajaan negeri mahu mempertimbangkan semula nama asal Georgetown kepada Tanjung Penaga?

"Ia nama yang melambangkan identiti Malaysia dan wajib diketengahkan, bukannya berbangga dengan identiti yang diberikan penjajah," katanya.

Terdahulu, Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) dan Gabungan Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Melayu Negeri Pulau Pinang (Gabungan) mengecam video promosi itu yang didakwa hanya mempromosikan kebudayaan kaum Cina dan India.

GTF 2024 hari ini menerusi kenyataannya memohon maaf atas salah faham video promosi mereka selepas didakwa tidak menonjolkan budaya Melayu.

Pasukan itu sudah menurunkan klip video berhubung sambutan festival berkenaan di semua saluran media sosial, laman sesawang dan aplikasi Youtube George Town Festival.

Sementara itu, Pengerusi Parti Muda Pulau Pinang Andika Putera menggesa supaya penganjur GTF 2024 supaya perlu peka dan sensitif sebelum mengeluarkan bahan promosi.

Katanya, amat penting bagi mana-mana penganjur acara bagi memastikan bahawa setiap elemen dalam promosi mereka menghormati dan menghargai keunikan budaya serta warisan tempatan.

"Ini adalah satu kegagalan tidak boleh dipandang ringan.

"Pejabat Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Pulau Pinang selaku agensi yang terbabit secara langsung perlu mengambil langkah bagi memastikan promosi yang lebih sensitif dan inklusif pada masa hadapan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2024 @ 7:49 PM