GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Polis menerima enam laporan berkaitan penipuan 'scammer' bagi tawaran tender pembekalan makanan bermasak di beberapa Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di negeri ini.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, menerusi laporan polis itu yang diterima dari 12 Julai hingga semalam, sekumpulan pembekal makanan mendakwa menanggung kerugian keseluruhan RM24,900.

Menurutnya, mangsa mendakwa menerima panggilan daripada individu tidak dikenali menawarkan tender pembekalan makanan untuk majlis yang akan diadakan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Johor.

"Mangsa kemudiannya diarahkan untuk membuat pembayaran dalam jumlah tertentu ke akaun bank yang diberikan sekiranya mereka mahu mendapatkan tender berkenaan.

"Mangsa yang percaya dengan tawaran terbabit membuat pembayaran dan hanya menyedari ditipu selepas membuat semakan dengan JBPM dan disahkan ia tidak benar," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pihaknya sudah membuka kertas siasatan bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun selain denda dan sebatan.

Katanya, pihaknya menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan sebarang tawaran yang diterima secara dalam talian dan menerusi telefon.

"Semakan boleh dilakukan terlebih dahulu dengan agensi atau jabatan berkaitan sebelum membuat sebarang pembayaran bagi mengelak diperdaya," katanya.

Semalam Pengarah JBPM Johor, Siti Rohani Nadir dilapor berkata, beliau meminta orang ramai berhati-hati dengan taktik terbaharu penipuan 'scammer' bagi penawaran pembekalan makanan bermasak di balai bomba.

Siti Rohani berkata, pihaknya menerima beberapa laporan daripada pengusaha makanan mengenai penipuan tawaran terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2024 @ 7:22 PM