GAMBAR fail pasangan suami isteri pempengaruh dan dua individu hadir di Mahkamah Majistret Putrajaya, 11 Julai lalu. FOTO NSTP
GAMBAR fail pasangan suami isteri pempengaruh dan dua individu hadir di Mahkamah Majistret Putrajaya, 11 Julai lalu. FOTO NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Empat individu termasuk pasangan suami isteri yang juga pempengaruh yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibebas, hari ini.

Ia selepas reman terhadap mereka sejak 11 Julai lalu berakhir hari ini.

Menurut sumber, kesemua suspek diperintah untuk membayar jaminan RM100,000 setiap seorang dengan RM20,000 perlu dibayar secara tunai dan baki RM80,000 tanpa cagaran masing-masing dengan seorang penjamin.

"Semua suspek juga perlu hadir ke pejabat SPRM sebulan sekali untuk melaporkan diri dan jika diperlukan oleh pihak SPRM sehingga siasatan selesai," katanya.

Pada 10 Julai lalu, SPRM menahan kesemua suspek ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, kerana disyaki terbabit dalam penyelewengan dana derma awam.

Sumber berkata, pasangan suami isteri itu dipercayai melakukan perbuatan terbabit sejak 2020 dengan menyeleweng kutipan derma yang tidak disalurkan dengan betul.

Katanya, kutipan derma terbabit dianggarkan mencecah RM3 juta dan pada masa sama, dua lagi suspek turut ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes sama.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2024 @ 6:47 PM