PEMAIN Jerman, Matteo Poljaric membawa bola sambil dicabar dua pemain Australia, Angus Adamson dan Craig Marais pada perlawanan akhir Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2023 di Stadium Hoki Taman Daya hari ini. FOTO BERNAMA
PEMAIN Jerman, Matteo Poljaric membawa bola sambil dicabar dua pemain Australia, Angus Adamson dan Craig Marais pada perlawanan akhir Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2023 di Stadium Hoki Taman Daya hari ini. FOTO BERNAMA
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Jerman muncul juara menewaskan Australia 3-1 menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 0-0 dalam masa sebenar pada aksi final Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) Edisi ke-11 di Stadium Hoki Taman Daya, sebentar tadi.

Kejayaan Jerman itu mengulangi pencapaian ketika memenanginya pada 2012 dan lebih menarik apabila skuad kendalian Rein van Eijk akan beraksi di pentas Piala Dunia Remaja di Kuala Lumpur yang bermula Disember ini.

Ia juga bagai memberi amaran kepada pasukan-pasukan lain berapa jaguh Eropah itu mampu memenangi Piala Dunia Remaja selepas muncul juara sebanyak enam kali dan muncul naib juara pada 2021.

Dalam aksi babak pertama, kedua-dua pasukan tampak berhati-hati menyusun langkah dan mengelak daripada memberi pukulan sudut penalti sehingga berakhir suku pertama permainan masih terikat tanpa jaringan.

Malang buat Jerman apabila gol padang yang dijaringkan Florian Sperling pada minit ke-20 suku kedua permainan dibatalkan pengadil Chad Fourie dari Afrika Selatan selepas mengesan berlaku kekasaran di dalam kawasn D Australia.

Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan masih buntu mencipa jaringan walaupun melakukan beberapa percubaan tatkala masuk di dalam kawasan D tapi kekebalan dua penjaga gol, Joshua Onyekwue Nnaji dari Jerman dan Maz Larkin dari Australia menjadi penghalang utama.

Dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat, juara 2022, India berjaya menewaskan Pakistan 6-5 menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 dalam masa permainan sebenar yang penuh dramatik.

India yang juga juara Remaja Asia membuka akaun jaringan pada minit ke-11 dalam suku pertama permainan menerusi gol padang Sahani Arun yang menewaskan penjaga gol Pakistan, Ali Raza.

Pakistan terpaksa menanti sehingga babak kedua dalam suku ketiga untuk menyamakan jaringan pada minit ke-33 menerusi jaringan pukul sudut penalti yang disudahkan Sufyan Khan.

Namun skuad bimbingan C R Kumar kembali di depan pada minit ke-42 hasil jaringan pukulan sudut penalti Poovana Chandura Boby tapi anak didik Roelant Oltmans bangkit menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-50 hasil gol padang Abdul Qayyum.

India yang ingin memastikan tempat ketiga dalam saingan SOJC tidak terlepas mula menggandakan dan pada minit ke-52, dengan Uttam Singh menjaringkan gol padang.

Ketika aksi befbaki tiga minit untuk ditamatkan Pakistan bangkit menyamakan jaingan menerusi pukulan sudut penalti oleh Hannan Shahid dan kedudukan 3-3 membawa kepada penentuan penalti bagi mencari pemenang.

Sementara itu, naib juara edisi ke-10, Britain hanya mampu menamatkan saingan SOJC di tempat kelima selepas menewaskan New Zealand 5-3. Bagaimanapun skuad kendalian Jon Bleby tidak beraksi di Piala Dunia Remaja.

Sebaliknya, New Zealand di bawah bimbingan Aaron Ford di undi dalam Kumpulan D bersama Belanda, Belgium dan Pakistan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2023 @ 10:25 PM