ABDUL Karim pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sukma XXI Sarawak 2024. FOTO Bernama
ABDUL Karim pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sukma XXI Sarawak 2024. FOTO Bernama
Mohd Roji Kawi


Kuching: "Sanusi kuat bergurau...apa yang beliau sebut hari itu hanya gurauan sahaja," kata Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika mengulas kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Muhd Nor, baru-baru ini agar kerajaan Sarawak menanggung sebahagian kos untuk menghantar kontinjen Kedah ke Sukan Malaysia XXI (Sukma XXI) Sarawak 2024.

Abdul Karim yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak berkata, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Sanusi kepadanya dalam pertemuan mereka semalam.

Justeru katanya, tidak timbul sebarang masalah dengan Kedah menjelang temasya sukan terbesar Malaysia itu pada 17 hingga 24 Ogos ini.

"Kita tahulah beliau (Sanusi) suka bergurau dan beliau sendiri pun memaklum kepada saya semalam mengenai gurauan itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sukma XXI Sarawak 2024 di sini, hari ini.

Abdul Karim berkata, Sanusi turut memaklumkan kepadanya bahawa Kedah akan menghantar lebih 500 atlet untuk bersama memeriahkan Sukma XXI.

Pada 10 Julai lalu, Sanusi berkata, beliau berharap Sarawak menanggung sebahagian kos untuk menghantar kontinjen negeri itu untuk menyertai Sukma XXI di Sarawak.

Menurutnya, ia bagi meringankan beban yang ditanggung untuk mendapatkan tiket penerbangan pegawai dan atlet serta membawa peralatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2024 @ 7:53 PM