Nora Danish. FOTO Amirudin Sahib
Nora Danish. FOTO Amirudin Sahib
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon Nora Danish, 42, mengaku sudah terdetik untuk mengenakan hijab sejak usianya mencecah 40 tahun namun ketika itu hatinya masih berbolak-balik.

Nora berkata, dia bagaimanapun membulatkan tekad untuk berhijab selepas menghadiri majlis keagamaan sejak Mei tahun lalu.

"Rakan baik saya, Betty Rahmad kerap menganjurkan majlis ilmu di kediamannya dan saya biasanya sebulan sekali akan ikut serta jika tiada urusan lain.

"Tetapi apabila pulang saya kadangkala malu terhadap diri sendiri kerana masih tidak berubah walaupun kerap mendengar ceramah agama.

"Perkara itu sedikit sebanyak menjadi penyebab untuk saya melakukan perubahan ini," katanya ketika ditemui pada sidang media drama rantaian Perang Nasi Dagang di sini, hari ini.

Nora Danish
Nora Danish

Menurut Nora, sejak kali pertama berhijrah pada hujung bulan lalu ibunya, Salimah Talib, antara individu pertama yang menangis dan memintanya untuk terus kekal istiqamah.

"Ramai yang mendoakan perkara ini sebelum ini tetapi saya belum bersedia nak berikan komen. Ini kerana saya ini pun masih baharu dan bimbang dituduh riak.

"Saya pun masih belajar dan perlahan-lahan untuk menjadi muslimah lebih baik. Saya sedang cuba untuk rajinkan diri ke majlis agama untuk dapatkan ilmu.

"Ibu adalah orang pertama yang terkejut dan menitiskan air mata apabila melihat perubahan ini," katanya.

Ditanya mengenai reaksi bekas suaminya, Nedim Nadzri apabila dia bertekad untuk berhijab, Nora berkata, Nedim terkejut dan memuji langkah baiknya itu.

"Saya memakai tudung pada hari selepas dia masuk wad di sebuah hospital baru-baru ini. Sudah tentu dia pun gembira malah dia turut memuji saya kelihatan cantik mengenakan tudung.

"Pada masa sama, saya ada juga terfikir semua yang berlaku ini adalah satu dugaan untuk saya terutama ketika diuji bekas suami sedang sakit.

"Jadi saya ambil hikmah ini dan nekad untuk berubah," katanya.

Sebelum ini, penampilan Nora yang bertudung di laman sosial mencetuskan tanda tanya ramai.

Malah, Nora dalam satu temu bual sebelum ini tidak mengesahkan perubahannya itu, sebaliknya meminta orang ramai mendoakan perubahan baiknya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2024 @ 6:36 PM