PAN-gon ketika sidang media di Wisma FAM,  hari ini. FOTO Bernama
PAN-gon ketika sidang media di Wisma FAM, hari ini. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Petaling Jaya: Selain alasan urusan peribadi, peletakan jawatan Kim Pan-gon sebagai pengendali skuad Harimau Malaya kemungkinan didorong faktor lain yang kekal menjadi rahsia.

Ia selepas Pan-gon sendiri dalam sidang media di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akui ada perkara lain yang menyebabkan tindakannya meninggalkan pasukan biarpun kontraknya hanya berakhir Disember 2025.

Katanya, beliau tidak boleh berkongsi perkara itu kerana ia dianggap 'bahaya' dan hanya diketahui oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

"Butiran lanjut mengenai keputusan ini tidak boleh saya kongsikan di sini. Sangat bahaya. Datuk Hamidin tahu semuanya tetapi tak perlu tanya dia lagi.

"Tak perlu tanya soalan itu di sini. Semua sudah selesai," katanya pada sidang media khas itu.

Terdahulu, Pan-gon sah meletakkan jawatan selaku pengendali skuad Harimau Malaya selepas dua tahun empat bulan membimbing pasukan negara.

Sepanjang tempoh melatih pasukan sejak Februari 2022 lalu, Pan-gon berjaya membawa skuad negara ke pentas Piala Asia 2023 di Qatar pada Januari lalu serta menaikkan ranking negara dari kedudukan 154 ke 130 dunia.

Susulan keputusan Pan-gon itu, bekas pembantunya iaitu Pau Marti Vicente diberi tanggungjawab untuk mengendalikan skuad negara sebagai pemangku jurulatih.

Sementara itu, jurulatih yang pernah mengemudi skuad kebangsaan bawah 23 tahun (B-23) iaitu E Elavarasan pula diangkat menjadi penolong ketua jurulatih.

Pada masa sama, kedudukan staf kejurulatihan yang lain kekal termasuk E Elavarasan selaku penolong ketua jurulatih, Park Bobae (penolong jurulatih), Cho Junho (jurulatih penjaga gol), Jihyeon Park (jurulatih kecergasan) dan Lim Jaehun (jurulatih analisis prestasi).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2024 @ 7:05 PM