NIDZAM akui kelemahan pasukannya ketika beraksi di gelanggang lawan. FOTO Hairul Anuar Rahim
NIDZAM akui kelemahan pasukannya ketika beraksi di gelanggang lawan. FOTO Hairul Anuar Rahim
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Selangor FC perlu menukar 'gear' dan mentaliti berbeza apabila berkunjung ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin bagi menghadapi Terengganu FC dalam separuh akhir pertama Piala FA, Jumaat ini.

Perubahan itu perlu berdasarkan kepada dua rekod aksi di tempat lawan yang nyata tidak berpihak skuad Red Giants termasuk ketika tewas di tangan Kuching City FC dalam suku akhir pertama Piala FA di Sarawak dan juga tewas mengejut pada aksi Liga Super di Cheras kepada Kuala Lumpur City FC, Ahad lalu.

Jelas pengendali Selangor FC, Nidzam Jamil, beliau akan cuba mengubah sikap pemainnya menjelang aksi dengan skuad Penyu itu dalam usaha membawa bekalan selesa sebelum aksi timbal balik di Kelana Jaya, 3 Ogos nanti.

"Saya pun ada terfikir perkara sama juga (rekod tempat lawan kurang baik), mungkin kita perlu menukar sikit kecenderungan kita, atau pun dari segi persiapan kita untuk menghadapi perlawanan di tempat lawan.

"Cuma akan datang, akan ada kelainan persiapan kita supaya setiap kali bermain di gelanggang luar kita tidak terlalu memikirkan perkara bakal berlaku," kata bekas pemain kebangsaan itu.

Ditanya kehilangan dua tonggak utama Yohandry Orozco dan Reziq Bani Hani yang dilayangkan kad merah ketika aksi suku akhir kedua menentang Kuching City FC sebelum ini, Nidzam akui ia tidak menjejaskan persiapan skuad kendaliannya.

Katanya, beliau gembira kesemua pemain bersedia untuk dipertaruhkan bertemu Terengganu FC nanti.

"Kita ada skuad yang baik dan seimbang, untuk Orozco dan Reziq...sudah tentu kita ada pemain-pemain. Kita pun ada beri peluang kepada pemain beraksi untuk pastikan semua pemain sekurangnya dapat minit bermain sebelum kita pergi berjuang di Terengganu.

"Secara keputusan saya tidak gembira kita kalah (kalah kepada KL City dalam aksi Liga Super Ahad lalu) hilang tiga mata dalam aksi jiran tetangga, tapi untuk persiapan Piala FA saya fikir kita stabil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2024 @ 6:48 PM