Johor Bahru: Gergasi dunia, Australia melakukan kebangkitan dramatik daripada ketinggalan 0-3 untuk mencatat kemenangan 4-3 ketika bertemu New Zealand pada perlawanan ketiga Piala Sultan Johor, semalam.

Segala-galanya seperti tidak kena untuk Australia apabila ketinggalan seawal minit ketiga selepas New Zealand dihadiahkan pukulan sudut penalti yang kemudian disempurnakan kapten Ben Smith.

Daniel Panchia menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-35, juga menerusi pukulan sudut penalti sebelum Kim Kingstone menjadikan menjadikan kedudukan 3-0 menerusi gol padang minit ke-41.

Namun Australia hanya memerlukan 10 minit untuk meledak empat gol sekali gus meranapkan impian New Zealand.

Gol Australia dijaringkan Andrew Scanlon (m-51), Joshua Bretherton (m-54), Oliver Crane (m-57) dan Max Hendry minit ke-61.

"Kami melakukan beberapa perubahan taktikal selepas tamat babak pertama dan ia ternyata menjadi.

"Barisan kejurulatihan mengingatkan pemain supaya terus fokus kepada perlawanan meskipun kami ketinggalan.

"Pemain dapat melakukannya sehinggalah tamat perlawanan," kata ketua jurulatih Australia Ben Bishop.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Oktober 2014 @ 5:31 AM