EAIN Yow (tengah), Aifa Azman (kanan) dan Aira Azman pada Sidang Media Program Fast Track Skuasy  di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil. FOTO Bernam
EAIN Yow (tengah), Aifa Azman (kanan) dan Aira Azman pada Sidang Media Program Fast Track Skuasy di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil. FOTO Bernam
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Juara skuasy Terbuka Jerman, Ng Eain Yow, memuji keputusan skuad negara untuk menggunakan jurulatih mental dalam persiapan atlet menjelang Sukan Olimpik sebagai langkah tepat dan berkesan.

Menurut Eain Yow yang kini berada di ranking ke-13 dunia, penggunaan pakar mental dan psikologi sudah terbukti berkesan dalam meningkatkan prestasi atlet.

"Beraksi di peringkat tertinggi memerlukan lebih daripada latihan fizikal. Jurulatih mental dapat mengubah keputusan dalam perlawanan dan memberi kesan positif kepada prestasi," katanya.

Dia memberi contoh kejayaan ratu skuasy negara, S Sivasangari, yang menjuarai Klasik London April lalu, dengan bantuan jurulatih mental.

"Sivasangari berjaya dengan bantuan jurulatih mental. Saya juga mengalami perubahan besar selepas bekerjasama dengan jurulatih mental, terutama selepas prestasi kurang baik dalam Tournament of Champions dan Windy City," tambahnya.

Eain Yow juga menekankan jurulatih skuasy bukan hanya memberi bimbingan teknikal tetapi juga sokongan mental.

"Jurulatih saya membantu saya mengubah perspektif terhadap keputusan perlawanan. Di peringkat tertinggi, setiap peluang untuk meningkatkan prestasi harus dimanfaatkan," katanya lagi.

Dia turut mengulas mengenai Program Fast Track Road to Gold (RTG) yang menawarkan khidmat sokongan jurulatih peribadi dan jurulatih psikologi.

"Program RTG sangat bermanfaat untuk atlet. Dalam Jelajah Dunia, pemain dalam kelompok Top 15 atau Top 10 dunia berusaha keras, tetapi pendekatan berbeza dapat membezakan seorang atlet dari pesaingnya," jelas Eain Yow.

Menurutnya, Malaysia kini berada di hadapan dalam menggunakan jurulatih mental atau psikologi untuk membantu atlet mencapai kejayaan.

"Prestasi saya berubah sebaik sahaja saya mula bekerjasama dengan jurulatih mental. Kami tidak membincangkan skuasy, tetapi bimbingan mental itu membantu saya memenangi Terbuka Jerman, menjadi naib juara Jelajah PSA di Qatar, dan mara ke suku akhir Terbuka British," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2024 @ 6:36 PM