HANNAH  ketika sidang media pengumuman tajaan insentif kemenangan Temasya Sukan Olimpik Paris 2024 di MSN, Bukit Jalil. FOTO Hairul Anuar Rahim
HANNAH ketika sidang media pengumuman tajaan insentif kemenangan Temasya Sukan Olimpik Paris 2024 di MSN, Bukit Jalil. FOTO Hairul Anuar Rahim
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh meluahkan rasa sedih di atas pengumuman Kim Pan-gon yang meletak jawatan selaku pengendali Harimau Malaya dalam sidang media hari ini.

Menurutnya, Pan-gon sendiri sudah memberitahu kepadanya mengenai hasrat berkenaan dan ia adalah keputusan muktamad sekali gus menolak sebarang bentuk pertimbangan membuat keputusan pusingan U.

"Saya menerima berita peletakan jawatan beliau dengan rasa sedih. Saya bertanya sama ada ini keputusan muktamad tanpa boleh membuat rayuan atau pertimbangan semula, beliau memberitahu keputusan sudah dibuat apa yang tinggal hanya kenangan manis untuk Malaysia," katanya selepas sidang media Majlis Pengumuman Ganjaran Sukan Olimpik Paris 2024.

Ujarnya, walaupun Pan-gon sudah tidak bersama dengan skuad bola sepak kebangsaan lagi namun pengendali kelahiran Korea Selatan itu sedia menimbang untuk membantu perkembangan sukan itu dari sudut lain.

"Bagaimanapun, sebagai menteri saya lihat beliau memang mempunyai peranan dalam meningkatkan industri bola sepak tanah air. Saya lihat keyakinan rakyat Malaysia semakin bertambah terhadap apa usaha beliau dan pasukan sejak beliau memulakan tugas pada 2022 hingga sekarang.

"Kita lihat stadium sentiasa penuh dan ramai bincang prestasi skuad kebangsaan terutama dari segi peningkatan ranking. Sumbangan beliau dalam arena bola sepak tidak boleh disangkal. Pihak kerajaan mengucapkan terima kasih kepada beliau," katanya.

Terdahulu, Pan-gon mengesahkan beliau meletakkan jawatan sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan berkuatkuasa serta-merta dalam satu sidang media khas di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini.

Pan-gon menyatakan keputusan itu diambil atas faktor komitmen peribadi dan FAM melantik pembantu jurulatih, Pau Marti Vicente sebagai pemangku ketua jurulatih dibantu seorang lagi pembantu jurulatih, E Elavarasan.

Mengulas lanjut peletakan jawatannya itu, Pan-gon memaklumkan beliau sudah mula memikirkan keputusan drastik itu selepas kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 berakhir selepas perlawanan menentang Taiwan, bulan lalu.

Namun Pan-gon mengambil pendekatan berahsia ketika ditanya mengenai alasan utama keputusan itu diambil apabila hanya menyatakan ia dibuat atas faktor komitmen peribadi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2024 @ 6:29 PM