SIDANG media bersama mangsa diperdaya along di Biro Aduan DAP Selangor, Bandar Seri Mahkota. FOTO Saifullizan Tamadi
SIDANG media bersama mangsa diperdaya along di Biro Aduan DAP Selangor, Bandar Seri Mahkota. FOTO Saifullizan Tamadi
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kajang: Pasangan suami isteri dipaksa membayar bunga mencecah 400 peratus selepas sebuah 'syarikat pinjaman wang' memasukkan RM1,200 ke dalam akaun mereka secara paksa, 14 Jun lalu.

Mangsa, Yuan, 44, berkata, dirinya tertekan dan ketakutan selepas syarikat berkenaan mengugut bukan sahaja dirinya malah ahli keluarga mereka yang lain untuk membuat bayaran mencecah RM10,000 bagi pinjaman yang dia sendiri tidak persetujui.

Menurutnya, isterinya menemui iklan pinjaman wang di dalam talian lalu tertarik kerana beranggapan ia sebuah syarikat sah kerana menggunakan nama 'yayasan' serta 'madani' lantas menghubungi nombor telefon yang tertera melalui aplikasi WhatsApp.

"Pada mulanya mereka meminta dokumen seperti pendaftaran syarikat dan butir-butir peribadi kononnya untuk menyemak kelayakan.

"Kemudian seorang ejen memaklumkan kami boleh membuat pinjaman RM50,000 tetapi perlu membuat pinjaman percubaan berjumlah RM2,000 terlebih dahulu namun hanya akan mendapat tunai RM1,200 manakala selebihnya adalah caj memproses.

"Selepas berbincang dengan kami membuat keputusan untuk menolak kerana merasakan caj berkenaan terlalu tinggi dan mula rasa was-was dengan syarikat itu," katanya pada sidang media di DAPSY Bandar Mahkota Cheras, di sini hari ini

Difahamkan, pasangan itu mahu membuat pinjaman untuk digunakan bagi perniagaan kedai alat perkakasan yang mereka jalankan di Petaling Jaya, Selangor.

Bapa kepada dua cahaya mata itu berkata, isterinya memaklumkan kepada ejen berkenaan yang mereka membatalkan hasrat untuk membuat pinjaman perniagaan berkenaan namun dimaklumkan wang RM1,200 sudah dikreditkan ke dalam akaun mereka.

Katanya, mereka cuba memulangkan semula wang berkenaan namun ejen terbabit memberitahu bahawa transaksi sudah dibuat dan perlu membuat pembayaran dengan alasan sistem sudah ditutup.

Yuan berkata, kerana khuatir dia dan isteri membuat laporan polis lalu dinasihatkan untuk memulangkan semula wang berkenaan.

"Saya hubungi ejen berkenaan untuk meminta akaun bank tetapi selepas membuat pindahan wang seorang lagi ejen hubungi saya dan mendakwa tidak menerima wang berkenaan.

"Ejen berkenaan mendakwa saya salah memindahkan wang ke akaun lain dan memaksa saya membayar RM10,000," katanya.

Menurutnya, dia khuatir akan keselamatan dua anak berusia 18 dan 13 tahun serta ahli keluarga lain kerana entah bagaimana syarikat berkenaan memperoleh maklumat peribadi termasuk nombor telefon sanak saudara yang lain.

Yuan mendakwa dirinya atau isteri tidak pernah memberi sebarang maklumat berhubung butiran peribadi sanak saudaranya kepada pihak syarikat berkenaan.

Sementara itu Ketua Biro Aduan DAP Selangor Lee Wen Bin menasihatkan orang ramai berhati-hati dengan taktik penipuan sindiket berkenaan.

Katanya, mana-mana individu yang menjadi mangsa diminta tidak membuat sebarang pembayaran bunga yang diminta dan memulangkan wang yang sudah dipindahkan ke akaun mereka dengan segera.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 12:41 PM