Kuala Lumpur: Setiusaha Kehormat Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Ng Chin Chai memaklumkan tarikh Panel Pendengaran Doping Datuk Lee Chong Wei (gambar) mungkin diumumkan minggu ini.

Menurutnya, setakat ini belum ada maklumat lanjut mengenai perbicaraan berkenaan yang sudah beberapa kali berlaku penukaran tarikh.

“Kami ada berhubung dengan peguam Mike Morgan di Britain yang menjelaskan mereka berada di peringkat akhir persediaan perbicaraan itu,” katanya kepada media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara BAM dengan Victor semalam.

Jelasnya, BAM ada menghubungi Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dan mereka akan memaklumkan tarikh perbicaraan secepat mungkin.

“Mungkin dalam minggu ini dan sekarang kita hanya menunggu BWF. Bagaimanapun, kami belum pasti lokasi perbicaraan berkenaan, kemungkinan besar masih kekal di Amsterdam, Belanda.

“Jika ada keputusan (tarikh baru) kita akan maklumkan,” kata Chin Chai.

Kelmarin, Chong Wei sendiri mengakui masih belum mengetahui tarikh perbicaraan berkenaan namun tetap turun berlatih di Stadium Juara, Bukit Kiara seperti biasa.

Bekas pemain nombor satu dunia itu, yang didapati positif menggunakan bahan terlarang dexamethasone di Kejohanan Dunia 2014 Copenhagen sekarang ini digantung sementara oleh BWF.

Penggantungan itu bukan saja memberi kesan dari segi ranking, malah pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2008 (Beijing) dan 2012 (London) terlepas beberapa kejohanan utama seperti Seluruh England 2015.

Bagaimanapun, Chong Wei percaya dia masih sempat untuk membantu skuad kebangsaan beraksi di Piala Sudirman 2015 Dongguan Mei depan.

Pada masa sama, Chong Wei berharap perbicaraan itu segera diadakan agar dia boleh turun ke gelanggang untuk mengutip mata bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2016 Rio.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2015 @ 9:33 AM