GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Seorang pekerja restoran didakwa memberi sokongan, memiliki artikel dan video serta mengaku ahli kumpulan pengganas Islamic State (IS), bulan lalu.

Tertuduh, Muhammad Muzzammil Mohd Mohlis, 35, mengangguk tanda faham selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Fadzlin Suraya Mohd Suah.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada lelaki itu kerana kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Muhammad Muzzammil didakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas IS dengan cara menggunakan aplikasi media sosial Facebook atas nama Ibn Nuhas dan Telegram atas nama Wilayah Maliziyah (bahasa Arab) di Bahagian E8 Counter Terrorism Cawangan Khas, Tingkat 24 Menara 2, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman di sini, pada 4.50 petang, 31 Mei lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 40 tahun atau dengan denda, dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan dalam melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa memiliki artikel dan video item berkaitan IS di lokasi, tarikh dan masa yang sama, mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan, yang berdepan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan dalam melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa mengaku keahlian kumpulan IS dengan cara melakukan upacara bai'ah dengan pemimpin IS, Abu Hafs AL Hashimi Al-Qurashi sebagai khalifah untuk memberi sokongan kepada kumpulan pengganas itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pangsapuri di Jalan Cheras, Batu 4 di sini, pada 10.08 pagi, Mei lalu, mengikut Seksyen 130J(2)(d) Kanun Keseksaan, yang berdepan hukuman penjara seumur hidup atau penjara maksimum 40 tahun atau denda dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Maryam Jamielah Ab Manaff memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan dalam tempoh dua bulan untuk pihaknya menyerahkan laporan daripada pakar berhubung barangan berkaitan kumpulan pengganas itu kepada mahkamah.

Fadzlin Suraya menetapkan sebutan kes pada 29 Ogos ini untuk serahan dokumen.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan bekas pensyarah antara lapan individu termasuk dua wanita yang ditahan selepas dipercayai terbabit dengan aktiviti ekstremis dan ideologi keganasan kumpulan pengganas IS.

Penahanan mereka mendapati wujud ancaman terhadap Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri serta beberapa orang kenamaan (VIP) selain kepimpinan tinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 12:48 PM