Kuala Lumpur: Sokongan media tempatan tidak berbelah-bahagi menaikkan semangat Datuk Lee Chong Wei (gambar) menjelang Panel Pendengaran Doping Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang dijangka berlangsung bulan depan.

 Menurut pemain nombor satu dunia itu, dia amat menghargai dengan sokongan media ketika sedang menghadapi saat paling sukar dalam kariernya selepas didapati positif mengambil bahan terlarang, dexamethasone pada Kejohanan Dunia 2014 Copenhagen Ogos lalu.

“Sokongan media itu menunjukkan ramai yang tidak percaya saya bersalah,” kata pemain berusia 32 tahun itu selepas dihubungi semalam.

Jelasnya bukan saja media tetapi sokongan rakyat Malaysia menaikkan semula semangatnya ketika dia berharap dapat mewakili negara sehingga Sukan Olimpik 2016 Rio.

 Chong Wei sekarang ini dikenakan penggantungan sementara oleh BWF sehingga Panel Pendengaran Doping badan induk dunia itu menjatuhkan hukuman ke atasnya.

 Ditanya mengenai tarikh perbicaraan itu yang sepatutnya berlangsung 8 Disember ini, Chong Wei berkata, dia tidak mahu memberi komen sehinggalah BWF dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mendapat kata persetujuan mengenai tarikh baru untuk Panel Pendengaran Doping.

“Sekarang ini tarikh itu masih belum disahkan lagi, jadi saya tidak boleh memberi komen,” kata pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2008 (Beijing) dan 2012 (London).

 Chong Wei bukan saja mendapat sokongan media tempatan malah musuhnya ketika di gelanggang seperti Lin Dan (China) dan Taufik Hidayat (Indonesia) juga melahirkan rasa simpati dan menganggap pemain itu tidak bersalah dan meragui dia mengambil bahan terlarang secara sengaja.

 BAM dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menggunakan khidmat peguam terkemuka dalam bidang sukan, Mike Morgan untuk membantu Chong Wei mendapat hukuman ringan seterusnya mampu mengumpul mata untuk melayakkan diri ke Olimpik 2016 Rio.

 Semua pemain badminton antarabangsa akan mula sibuk mengumpul mata melayakkan diri ke temasya itu bermula Mei depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 November 2014 @ 5:07 AM