Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan, kelewatan pelaksanaan penyasaran subsidi antara satu daripada faktor kejatuhan Malaysia dalam Indeks Daya Saing Dunia 2024.

Bagaimanapun, kata Anwar, laporan itu masih mengekalkan kedudukan negara ini yang mempunyai ekonomi stabil.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, selain kelewatan pelaksanaan penyasaran subsidi, terdapat faktor lain menyebabkan kejatuhan negara ini dalam indeks berkenaan.

"Tentang unjuran pertumbuhan. Seperti mana yang kita tahu, pertumbuhan ekonomi kita pasca Covid-19 melonjak naik daripada ambang yang sangat rendah dan prestasi kita berikutnya tentunya terlalu rendah, berbanding sebelumnya," katanya sewaktu pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

ANWAR ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat hari ini. FOTO BERNAMA
ANWAR ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat hari ini. FOTO BERNAMA

Beliau menjawab pertanyaan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) berkaitan strategi kerajaan ekoran kejatuhan kedudukan Malaysia ke tangga 34 dalam Indeks Daya Saing Dunia 2024.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, faktor prestasi ringgit juga menyebabkan kejatuhan kedudukan Malaysia dalam indeks itu.

"Prestasi ringgit tahun 2023 sangat lemah dan kita ambil kira. Ini juga menyebabkan kita merudum," katanya.

Beliau berkata, kesemua faktor itu diambil perhatian pihaknya dan percaya prestasi negara ini akan bertambah baik selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 1:05 PM