PASUKAN penguat kuasa KPDN melakukan pemeriksaan di empat premis sekitar Kota Bharu sebelum menyita 1,207 aksesori telefon disyaki tiruan bernilai RM33,104. FOTO Ihsan KPDN
PASUKAN penguat kuasa KPDN melakukan pemeriksaan di empat premis sekitar Kota Bharu sebelum menyita 1,207 aksesori telefon disyaki tiruan bernilai RM33,104. FOTO Ihsan KPDN
Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan membuat sitaan 1,207 unit aksesori telefon jenama terkenal yang disyaki tiruan dianggarkan bernilai RM33,104.

Serbuan berasingan dilakukan di empat premis sekitar Kota Bharu secara serentak pada tengah hari kelmarin dan semalam.

Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, serbuan dilakukan hasil aduan daripada wakil pemilik cap dagang seterusnya pasukan risikan membuat pemantauan.

"Hasil serbuan yang dibuat menemui pelbagai aksesori telefon berjenama terkenal antaranya bateri, wayar pengecas, penyesuai sambungan dan alat fon telinga.

"Semua barangan itu disyaki mempunyai pelanggaran mengikut Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan, kawalan dan jagaan bagi maksud perdagangan suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah pada barangan atau perkhidmatan.

"Sitaan dilakukan terhadap 1,207 unit aksesori telefon berjenama terkenal disyaki tiruan dengan nilai rampasan keseluruhan bagi kertas siasatan yang dibuka dianggarkan berjumlah RM33,104," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Azman berkata, keempat-empat premis itu juga ada menjalankan jualan menerusi dalam talian.

Menurutnya lagi, empat tindakan kes yang dihasilkan itu akan disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019 dan jika sabit kesalahan, pemilik premis perniagaan boleh dikenakan denda.

"Jika pertubuhan atau perbadanan, denda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang manakala individu atau perseorangan pula dendanya tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau peniaga yang melakukan kesalahan ini dan selain denda yang tinggi, mereka juga boleh berdepan dengan pertuduhan di mahkamah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 12:45 PM