Kuala Lumpur: Ibarat mencurahkan minyak ke dalam api.

Beginilah situasi yang terpaksa dihadapi pelakon, Ruhainies, 31, apabila ada pihak didakwa sengaja menyebarkan fitnah dengan memuat naik kad undangan majlis pertunangan dia dengan Aliff Aziz yang kini tular di media sosial.

Tidak berdiam diri dengan fitnah yang dilemparkan. Ruhainies atau nama sebenarnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas tampil mempertahankan diri.

"Kepada pemilik akaun ini, saya akan memastikan anda mendapat balasan.

"Pengajaran untuk syarikat lain juga yang tidak bertanggungjawab, selama ini mereka cerita demi menaikkan pengikut dan tontonan.

"Saya sudah lama berdiam. Kepada pengguna Instagram yang saya hormati, bijaklah menilai dan jangan cepat percaya apa yang dipaparkan dalam media sosial.

"Fitnah sudah jadi kebiasaan untuk mereka ini. Dunia ini sudah tenat," katanya menerusi Instagram Story.

Dalam masa sama, Ruhainies turut mengingatkan kepada pengikut media sosial untuk berkongsi maklumat mengenai mana-mana pihak yang dengan sengaja menyebarkan fitnah terhadapnya.

"Saya mohon kepada pengikut untuk kongsi dengan saya melalui mesej jika terdapat mana-mana lagi manusia tidak bertanggungjawab menabur fitnah.

"Sama-sama kita bantu untuk ambil tindakan yang sewajarnya. Mungkin hari ini saya yang kena, hari lain orang yang anda sayang pula.

"Saya mohon untuk semua membuat laporan mengenai akaun ini dalam Instagram, TikTok mereka juga. Terima kasih dan semoga Allah membalas jasa baik semua," katanya.

Terdahulu, tular dalam media sosial kad digital majlis pertunangan Ruhainies dengan Aliff yang dikatakan berlangsung pada 29 Jun ini.

Pada 9 Mac lalu, Ruhainies dan Aliff ditangkap berkhalwat oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sebuah kondominium di ibu kota.

Pada 20 Jun lalu, pasangan ini hadir ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini, untuk lanjutan bon jamin membabitkan kes tangkapan khalwat mereka.

Jurucakap Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan (Japens) memaklumkan kes ditangguhkan, manakala sebutan kes dan pertuduhan di Mahkamah Tinggi di sini pada tarikh akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 1:05 PM