Kuala Lumpur: Ikon badminton negara Datuk Lee Chong Wei (gambar) sedia menimbang untuk bersara jika Panel Pendengaran Doping Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menjatuhkan hukuman gantung dua tahun terhadapnya.

Bercakap kepada BBC kelmarin, Chong Wei berkata, dia mungkin menggantung raket jika hukuman itu dikenakan terhadapnya.

Kini Chong Wei digantung sementara oleh BWF sehingga perbicaraannya diadakan awal bulan depan.

Dia sebelum ini didapati positif ujian doping ketika Kejohanan Dunia 2014 Copenhagen dan dilarang menyertai sebarang pertandingan sehingga perbicaraan berlangsung.

Bekas pemain nombor satu dunia itu dikesan menggunakan bahan terlarang dexamethasone di kejohanan berkenaan.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bersama peguam yang dilantik, Mike Morgan berusaha untuk mengumpul segala bukti agar Chong Wei dikenakan hukuman minimum.

Jika rayuan berkenaan tidak berjaya, pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2008 (Beijing) dan 2012 (London) itu bakal dikenakan penggantungan selama dua tahun.

Pengurangan penggantungan amat penting buat Chong Wei yang berhasrat kembali ke saingan kompetitif dan mengumpul mata bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2016 Rio.

Bermula Mei, kesemua pemain terbaik dunia akan cuba mengumpul sebanyak mungkin mata bagi membolehkan mereka beraksi di Brazil.

Ini kali pertama sepanjang 15 tahun kariernya dalam sukan badminton gagal ujian doping dan penggantungan sementara yang dikenakan terhadapnya sekarang menyaksikan dia tergelincir ke ranking nombor tiga dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 January 2015 @ 7:23 AM