LYLES bersama pingat emas dimenanginya. FOTO AFP
LYLES bersama pingat emas dimenanginya. FOTO AFP
AFP

Eugene, Amerika Syarikat: Noah Lyles beraksi di Olimpik untuk kali kedua selepas memenangi acara 100 meter (m) di kejohanan Ujian Olimpik Amerika Syarikat (AS) di Eugene, Oregon semalam.

Lyles mencatat masa 9.83 saat (s) untuk mengatasi Kenny Bednarek yang mencatat 9.87s manakala tempat ketiga milik Fred Kerley dengan catatan 9.88s untuk memastikan tempat ke temasya di Paris.

"Jurulatih (Lance Brauman) sentiasa memberikan kata semangat apabila tiba masa beraksi di final.

"Kami berdua tahu jika saya lakukan ketika latihan, perlumbaan akan menjadi milik saya dan itulah apa yang terjadi pada hari ini," kata Lyles.

Ketika Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Lyles meraih pingat gangsa dalam acara 200 meter (m) lelaki.

Kendall Ellis juga akan beraksi di Olimpik keduanya selepas menang acara 400m wanita. Dia mencatat 49.46s, mengatasi Aaliyah Butler (49.71s) di tangga kedua dan gangsa milik Alexis Holmes yang mencatat 49.78s.

Kendall yang menaiki podium dua kali di Tokyo, memenangi emas acara 4x400m wanita dan gangsa dalam acara 4x400m campuran.

"Saya sangat teruja sekarang kerana saya rasa saya berjaya menyelesaikannya," kata Kendall.

Enam acara final turut berlangsung semalam termasuk kedua-dua acara 800m lelaki dan wanita.

Chris McDonald menang acara lelaki dengan catatan 2:14.25s manakala Sue McDonald menguasai acara wanita dengan masa 2:22.81s.

Kenneth Rooks menamatkan acara 3000m lari berhalangan lelaki dalam masa 8:21.92s untuk keluar sebagai juara.

Lemparan sejauh 83.04m membolehkan Curtis Thompson memenangi acara lempar lembing lelaki, manakala Sam Kendricks melompat 5.92m sebagai pemenang lompat galah lelaki.

Annette Echikunwoke pula menduduki tempat pertama dalam acara baling tukul wanita dengan balingan sejauh 74.68m.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 12:16 PM