ANWAR ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat hari ini. FOTO Bernama
ANWAR ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat hari ini. FOTO Bernama
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan penjualan pegangan saham dalam Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP) melalui syarat yang ketat.

Perdana Menteri berkata, apabila pertimbangan pengurusan dibuka, kira-kira 145 syarikat berminat, namun hanya lima yang layak.

"Khazanah (Khazanah Nasional Bhd) melaporkan bila dibuka untuk pertimbangan pengurusan, sekitar 145 yang berminat. Akhirnya lima yang layak. Syarat ditetapkan oleh Khazanah ketat yang tidak dipersetujui oleh kebanyakannya.

"Pertama, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) rakyat Malaysia. Kedua, majoriti pegangan Malaysia.

"Namun, syarikat lain yang berminat ini baik Singapura dan lain-lain, dia nak hak mengurus. Maknanya CEO dalam kalangan rakyatnya atau dia yang tentukan. Syarat ini tidak diterima. Jadi, itu sebabnya mengapa GIP diambil," katanya sewaktu pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) mengapa GIP dibawa masuk bagi membantu MAHB yang juga sebuah syarikat berdaya saing.

Wan Ahmad Fayhsal turut bertanyakan mengapa MAHB tidak memilih rakan yang lain.

Mengulas mengenai mengapa MAHB tidak memilih rakan lain, Anwar berkata, sukar mana-mana syarikat asing mahu bekerjasama sekiranya mereka tidak menguasai majoriti pegangan saham, mengurusnya atau menjadi Pengerusi dan CEO.

"Semua itu tidak menerima syarat yang kita kenakan yang agak ketat terutamanya dari segi penguasaan majoriti syer.

"Kita tidak beri kerana kita masih kekalkan 70 peratus syarikat Malaysia, Khazanah dan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 12:36 PM