TUNTUTAN Nusyuz antara Ippo Hafiz (kanan) dengan Fara Roslan turut serta Peguam Syarie, Fakhrul. FOTO Amirudin Sahib
TUNTUTAN Nusyuz antara Ippo Hafiz (kanan) dengan Fara Roslan turut serta Peguam Syarie, Fakhrul. FOTO Amirudin Sahib
Norhayati Nordin


Ampang: Isteri komposer dan penyanyi, Ippo Hafiz iaitu Fara Roslan, 36, berharap kemelut rumah tangga yang dihadapi mereka dapat diselesaikan secara baik sebagai suami isteri demi anak-anak.

Fara atau nama sebenarnya, Norfarahin Roslan berkata, apa yang diinginkannya agar segala urusan ke arah penyelesaian berjalan lancar, mudah, tidak perlu bergaduh dan dapat berbincang secara baik.

"Saya cuba nak berbincang dengan dia (Ippo) pun, tapi saya tak dapat nak 'contact' (hubungi). Jadi, macam mana saya nak bincang?" katanya.

Ditanya apakah masih ada jalan penyelesaian dalam perkahwinannya mereka tanpa berakhir perpisahan, Fara berkata, dia melihat amat penting wujudnya keharmonian dalam rumah tangga.

"Untuk saya, buat apa kalau satu rumah tangga itu tiada lagi keharmonian. Jadi, jalan penyelesaiannya atau jalan terakhirnya lebih baik kita berpisah, tapi dengan cara baik.

"Saya minta dia cuba jadi seorang lelaki bertanggungjawab, suami yang bertanggungjawab terhadap isteri dan prihatin kepada ibu yang nak jumpa dengan anak. Itu saja, dengan cara baik," katanya.

Sementara itu, peguam syarie mewakilinya, Rezal Mazli Abdul Muin berkata, sebutan kes nusyuz seterusnya pada 30 Julai depan, namun hanya perlu dihadiri peguam daripada kedua-dua belah pihak bagi menguruskannya di mahkamah.

"Bagaimanapun, anak guam saya yang memfailkan tuntutan hak penjagaan hadanah interim (sementara) di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor, sebelum ini, sebutan kesnya pada 9 Julai depan.

"Ia bagi mendapatkan perintah sementara (hak penjagaan) untuk ibu ini (Fara) bertemu anaknya. Pada masa sama, kita juga tidak pernah menafikan pun hak ayah, hak ibu, hak datuk, hak nenek, tak pernah nafikan.

"Cuma, kita minta oleh kerana dalam kes syariah ini disebabkan mereka masih suami isteri, jadi kita beri ruang untuk mereka berkomunikasi, cuba berhubung. Tetapi, bila gagal, itulah baru peranan peguam terpaksa masuk mengikut prosedur.

"Kalau ikut prosedur, ia akan ambil masa agak lama, ada kos, ada tertibnya nak kena buat, cuma saya nampak positif untuk saya berbincang dengan peguam syarie pihak sana (Ippo) supaya kita boleh rekod satu penghakiman persetujuan," katanya.

Menurut Rezal Mazli, pihak Fara sebagai plaintif, tidak akan menafikan hak ayah seperti hak lawatan, hak bermalam, hak cuti sekolah, hak beraya untuk bersama-sama, kalau memang jodoh sampai setakat itu saja.

Katanya, kedua-dua belah pihak juga sebagai ibu bapa cubalah menjadi kawan baik semata-mata untuk kebajikan anak.

Pasangan Ippo dan Fara mendirikan rumah tangga pada 24 Ogos 2019 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki. Namun, Fara didakwa keluar dari rumah tanpa izin dan tidak pulang pada November tahun lalu.

Justeru, akibat kemelut rumah tangga yang berlaku, anak sulung iaitu Yusof Zarin Nur, 4, kini di bawah jagaan Fara, manakala anak kedua, Ibrahim Afi Nur, 2, pula tinggal bersama Ippo.

Bagaimanapun, Fara memaklumkan sudah tidak berjumpa dengan Ibrahim sejak Februari lalu hingga sekarang dan mendakwa tidak tahu di mana kanak-kanak itu berada kerana Ippo tidak dapat dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 12:55 PM