TIGA individu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan menyokong dan memiliki bahan berkaitan IS.
TIGA individu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan menyokong dan memiliki bahan berkaitan IS.
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Tiga individu termasuk suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas lima pertuduhan berasingan menyokong dan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas Islamic State (IS), bulan lalu.

Tertuduh Muhammad Feesol Haron, 35, dan isterinya Suhaini Sarwan, 46, serta Mohd Firdaus Kamal Intdzam, 37, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kelima-lima tertuduh kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Feesol dan Suhaini didakwa memiliki bahan-bahan berkaitan IS dan perbuatan pengganas di dalam telefon bimbit mereka.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Kempas, di sini, kira-kira 1.10 tengah hari dan 1.15 tengah hari pada 30 Mei lalu.

Manakala, Mohd Firdaus didakwa melakukan kesalahan sama di perkarangan sebuah kilang di Taman Perniagaan Setia, di sini, kira-kira 6.15 petang pada 30 Mei lalu.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah peruntukan sama yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan dalam melakukan kesalahan itu.

Suhaini turut berhadapan dua lagi pertuduhan memberi sokongan kepada IS menggunakan dua akaun media sosial Facebook atas nama Suhaini Sarwan dan Enma Kenma.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bahagian E8, Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, Kuala Lumpur kira-kira 5.50 petang pada 27 Mei lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 40 tahun atau denda dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang digunakan dalam melakukan kesalahan itu.

Mahkamah menetapkan 30 Julai depan untuk sebutan semula kes bagi lantikan peguam.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fakhrurrazzi Ahmad Salim, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, ketibaan ketiga-tiga tertuduh di Kompleks Mahkamah Johor Bahru pada 8.30 pagi dikawal ketat lebih 30 anggota polis bersenjata.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 12:41 PM