EMPANGAN Muda. FOTO Arkib NSTP
EMPANGAN Muda. FOTO Arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Paras air di Empangan Muda dekat Sik terus menyusut kepada 20.33 peratus hari ini berbanding 26.08 peratus pada 13 Jun lalu.

Turut mengalami penyusutan adalah paras air di Empangan Pedu iaitu 52.69 berbanding pada tarikh sama iaitu 56.89 peratus, manakala Empangan Ahning masih berada di tahap baik iaitu 84.63 peratus dengan penyusutan minimum berbanding dua minggu lalu iaitu 85.16 peratus.

Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) dalam kenyataan berkata, penyusutan berlaku berikutan pelepasan air bagi tujuan pengairan tanaman padi dan bekalan air domestik serta industri melalui Empangan Pedu dan Empangan Ahning.

Katanya, Empangan Muda pula berfungsi sebagai kolam takungan pengimbang di mana takungan air akan disalurkan ke Empangan Pedu melalui Terowong Saiong.

"Jumlah takungan air bagi ketiga-tiga empangan berkenaan adalah 55.20 peratus. Sekarang sudah mula hujan, jadi akan ambil sedikit masa untuk menaikkan paras takungan air di empangan.

"Keadaan air di Empangan Pedu terutamanya masih memuaskan dan mencukupi untuk musim tanaman padi bagi musim satu 2024," katanya.

Menurut Mada, pihaknya masih menunggu jawapan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) untuk melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) bagi meningkat paras air di empangan.

Pada 13 Jun lalu, media melaporkan Mada untuk melaksanakan OPA bagi meningkatkan paras air di empangannya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 12:55 PM