TIGA pemain Costa Rica mengasak Paqueta. FOTO AFP
TIGA pemain Costa Rica mengasak Paqueta. FOTO AFP
Reuters

Los Angeles: Brazil bermula hambar apabila melepaskan banyak peluang ketika seri 0-0 dengan Costa Rica dalam aksi pembukaan Kumpulan D Copa America di Los Angeles, hari ini.

Brazil mendominasi lebih 75 peratus penguasaan bola pada separuh masa pertama dan satu gol mereka dibatalkan akibat ofsaid selain kurang menyengat dengan hanya tiga daripada 19 percubaan mereka tepat ke sasaran.

Perlawanan berat sebelah berterusan di babak kedua menyaksikan rembatan jarak jauh Lucas Paqueta terkena palang pada minit ke-63 sebelum percubaan Guilherme Arana diselamatkan penjaga gol Costa Rica, Patrick Sequeira.

Jurulatih Dorival Junior membawa masuk pemain muda Savio dan Endrick pada minit ke-70 ketika Brazil terdesak mencari gol kemenangan. Namun, rembatan Paqueta dua kali tersasar pada 10 minit terakhir ketika juara sembilan kali itu gagal memecah kebuntuan.

"Sekarang kami perlu jujur dengan diri sendiri. Bukan sahaja mencipta peluang, menjaringkan gol dan keputusan juga penting di kejohanan ini.

"Hanya satu mata pada aksi pertama boleh menyukarkan peluang kami di penghujung," kata pertahanan Brazil Marquinhos.

Nada sama turut dikongsikan Paqueta yang terlepas beberapa peluang. "Kami beraksi dengan baik, berjuang sehingga tamat.

"Saya sendiri ada tiga peluang. Kami kecewa tak menang tapi kami tetap yakin. Kami perlu perbaiki jentera serangan terutama saya dalam aksi seterusnya," kata Paqueta.

Penjaring terbanyak Brazil Neymar yang disisihkan akibat kecederaan ligamen, hanya mampu menggelengkan kepala melihat ketumpulan rakan sepasukannya.

Sementara itu , Colombia mendahului Kumpulan D selepas menang 2-1 ke atas Paraguay sebelum perlawanan Brazil menentang Costa Rica.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2024 @ 12:46 PM