Azlan Hafeedz

Kota Bharu: Kedudukan K Devan (gambar) selaku ketua jurulatih Kelantan bakal diketahui hari ini apabila Jawatankuasa Pengurusan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) bersidang bagi menentukan masa depannya.

Berdasarkan pemerhatian, beliau dijangka sukar bertahan dengan Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) sehingga akhir musim ini susulan prestasi tidak menentu pasukan Pantai Timur itu.

Pada masa sama, Devan juga dijangka membentangkan laporan perlawanan termasuk yang terbaharu, menyaksikan PQPTRW kalah 2-4 di tangan Terengganu FC II (TFC II).

Setiausaha Agung KAFA Datuk Ismail Md Noor ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah memaklumkan kepada Devan mengenai perjumpaan itu dan menuntut bekas jurulatih Negeri Sembilan terbabit membentangkan laporan prestasi pasukan.

“Menerusinya, pihak jawatankuasa akan menilai dari semua sudut bermula dengan prestasi jurulatih, pemain tempatan dan import.

“Laporan ini penting dan keputusan akan dibuat berdasarkan penilaian menyeluruh serta bergantung kepada budi bicara ahli jawatankuasa.

“Besar kemungkinan nasib beliau (Devan) juga dibincangkan. Tapi setakat ini KAFA masih memberi kepercayaan kepadanya dan mahu beliau buktikan kemampuan dalam perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim, esok (hari ini),” katanya.

Ismail juga berkata, Presiden KAFA Tan Sri Annuar Musa adalah individu bertanggungjawab mengumumkan kedudukan Devan selepas mesyuarat nanti.

Desakan supaya Devan meletak jawatan semakin jelas kedengaran apabila penyokong PQPTRW tidak puas hati dengan kekalahan memalukan Kelantan di tangan TFC II, Selasa lalu.

Menurut mereka, jurulatih berpengalaman itu gagal membawa sebarang pembaharuan kepada pasukan, sekalipun pemain sudah berehat panjang selama tiga minggu.

Presiden Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim (Kelate.net) Mahizi Mahmood pula tidak menafikan kekecewaan penyokong apabila strategi jurulatih berusia 54 tahun itu tidak berupaya menjadikan Kelantan pasukan disegani.

“Jika dilihat kepada kekuatan pasukan termasuk penaja, tidak mustahil Kelantan boleh memenangi sekurang-kurangnya satu piala musim ini namun malangnya, Kelantan langsung tidak menyerlah.

“Masih belum terlambat buat Kelantan untuk memperbaiki pasukan namun pihak KAFA harus melakukan sesuatu dengan segera jika ingin terus memenangi hati penyokong,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2016 @ 8:44 AM