Oleh Azlan Hafeedz

Kota Bharu: Selepas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kelantan pula dirundung masalah sama apabila Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) didakwa gagal menjelaskan bayaran gaji pemainnya untuk tempoh dua bulan.

Walaupun tidak kritikal, kegagalan itu pasti merencatkan sedikit persiapan skuad The Red Warriors (TRW) untuk mengharungi kempen Piala Malaysia yang bermula 11 September ini.

Selepas diundi dalam Kumpulan C bersama Selangor, FELDA United FC dan T-Team dalam saingan Piala Malaysia musim ini, Kelantan mungkin berdepan masalah jika tunggakan gaji itu tidak diselesaikan segera.

Masalah itu 'bocor' selepas ada pemain meluahkan isi hati mereka melalui laman sosial hingga mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong.

Timbalan Presiden Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim (Kelate.net), Mahizi Mahmood berkata, tidak dinafikan masalah gaji adalah isu sensitif serta perlu dipandang serius oleh pengurusan pasukan.

“Ia juga boleh melemahkan semangat serta mental pemain untuk bermain seterusnya menjejaskan persiapan pasukan dalam menghadapi saingan Piala Malaysia.

“Bagi kami, masalah itu perlu diselesaikan secara berhemah kerana pemain serta keluarga mereka bakal menyambut Aidiladha, 24 September ini,” katanya.

Sementara itu, sumber dalaman KAFA berkata, setakat ini, beliau difahamkan isu tunggakan gaji itu tersebar melalui laman sosial berkenaan.

Katanya, jika berdepan sebarang masalah, semua pemain disarankan mengikut saluran betul untuk tidak kira sama ada berkaitan gaji atau sebaliknya.

“Pemain dan pengurusan perlu berbincang sekiranya timbul kekeliruan atau pemain tidak faham terhadap syarat dan terma kontrak yang sudah ditandatangani mereka.

“Jika ada masalah, elakkan dari mengguna laman sosial kerana ia boleh menjatuhkan imej persatuan dan pasukan,” katanya.

Katanya, Presiden KAFA Tan Sri Annuar Musa (gambar) tidak pernah dengan sengaja melambatkan pembayaran gaji kepada pemain.

“Dalam kontrak jelas disebutkan, pemain boleh buat tuntutan dan berbincang jika majikan tidak membayar gaji seperti tarikh ditetapkan.

“Apapun, pemain perlu merujuk kepada majikan jika ada sebarang masalah bagi mengelakkan suasana tidak diingini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2015 @ 10:46 AM