DEVAN (kiri) janji lonjak Kelantan.
DEVAN (kiri) janji lonjak Kelantan.
Azlan Hafeedz


Kota Bharu: Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) masih memberi peluang sehingga bulan depan kepada K Devan untuk membuktikan keupayaannya sebagai ketua jurulatih skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW).

Bagaimanapun, difahamkan peluang itu yang terakhir sebelum perhitungan sebenar berhubung masa depan pengendali berkenaan diputuskan.

Setiausaha Agung KAFA Datuk Ismail Md Noor berkata, semua ahli jawatankuasa badan induk itu bersetuju untuk tidak melakukan perubahan drastik buat masa ini.

“Mesyuarat tiga jam hari ini (semalam) berpuas hati dengan laporan disediakan beliau (Devan) dan bersetuju memberi peluang kepadanya untuk mencorak permainan lebih berkualiti sekurang-kurangnya buat lima perlawanan terakhir sebelum pintu perpindahan pemain dibuka semula pada Jun nanti.

“Beliau juga berjanji memanfaatkan peluang diberikan itu untuk melonjakkan semula imej Kelantan menerusi dua atau tiga perlawanan lagi.

“Sekiranya berjaya, beliau mungkin dikekalkan. Jika ada yang kurang, keadaan sebaliknya boleh berlaku,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Akhbar semalam melaporkan nasib Devan sebagai ketua jurulatih Kelantan dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk KAFA susulan prestasi buruk pasukan.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, KAFA juga enggan melakukan rombakan besar-besaran hanya kerana desakan penyokong.

“Penilaian menyeluruh perlu dibuat dan kami tidak nafikan prestasi pemain tempatan dan import juga dibincangkan dan dinilai secara serius sepanjang masa,” katanya.

Ditanya mengenai khabar angin ada pemain yang tidak menerima gaji seperti yang menjadi viral dalam laman sosial, beliau berkata, wujud salah faham berhubung pembayarannya kerana KAFA mengeluarkan bayaran mengikut jadual iaitu pada minggu pertama setiap bulan.

“Kadang-kadang ada pemain import terkeliru mengenai pembayaran gaji itu menyebabkan mereka meluahkannya dalam laman sosial sebelum dihebohkan pihak tertentu.

“Cuma, saya ingin nyatakan, pembayaran gaji sentiasa dibuat pada tarikh ditetapkan dan dibayar melalui akaun masing-masing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 April 2016 @ 5:39 AM