ROSMADI (tengah) bergambar bersama model dan pemain selepas majlis pelancaran baju jenama Gomogi Premium.
ROSMADI (tengah) bergambar bersama model dan pemain selepas majlis pelancaran baju jenama Gomogi Premium.
Azlan Hafeedz

Kota Bharu: Desas-desus mengaitkan dua pemain Johor Darul Ta’zim (Johor DT) bakal menyertai Kelantan tidak benar dan dinafikan sekeras-kerasnya Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA).

Difahamkan, dua pemain Harimau Selatan yang juga bekas pemain Kelantan Shakir Shaari dan S Chanturu dikaitkan bakal menyarung jersi pasukan lama mereka sebaik pintu perpindahan dibuka, bulan depan.

Sebagai pertukaran, seorang pemain lincah Kelantan pula bakal menyertai Johor DT bagi kedua-dua pemain terbabit.

Bagaimanapun, KAFA menafikan mengenai khabar angin yang tersebar luas menerusi laman sosial Facebook itu.

Naib Presiden KAFA Datuk Rosmadi Ismail berkata, setakat ini, pihak pengurusan KAFA berpuas hati dengan prestasi semua pemain tempatan dalam Liga Malaysia.

Katanya, walaupun prestasi Kelantan kurang memberangsangkan, pihaknya berpendapat, semua pemain tempatan memberikan komitmen tinggi dan kesungguhan cuma, nasib tidak menyebelahi mereka.

“Secara peribadi, saya lihat persembahan pemain tempatan agak baik, namun, saya serahkan kepada ketua jurulatih, Velizar Popov untuk membuat penilaian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran baju jenama Gomogi Premium dan cakera padat album dikir barat berjudul Identiti keluaran Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim (Kelate.Net) di ruang legar KB Mall, petang kelmarin.

Turut hadir, Naib Presiden KAFA Muhammad Nasir Hamzah dan Setiausaha Agung, Datuk Ismail Md Noor termasuk Popov serta dua pemain Kelantan, Indra Putra Mahayuddin dan Qayyum.

Dalam perlawanan persahabatan di Stadium Sultan Muhammad IV, malam kelmarin, Kelantan membelasah The President Warriors, 5-1. Perlawanan itu turut disertai tiga bakal import baharu, Jacob Olayemi Ogunleye selaku pemain tengah, Sani Shehu Emmanuel (penyerang) dan Noah Olawale Ojuola (pertahanan).

Ketiga-tiga pemain Nigeria itu diuji dan bakal dinilai Popov bagi menggantikan tiga daripada empat import sedia ada, Jonathan McKain, Jonatan Lucca, Blazhe Ilijoski atau Dramane Traore.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mei 2016 @ 9:29 AM