DOS Santos (tengah) menjalani latihan bersama pemain Kelantan.
DOS Santos (tengah) menjalani latihan bersama pemain Kelantan.
Oleh Azlan Hafeedz

Kota Bharu: Impian Kelantan menambah sengat di bahagian serangan menjelang pertemuan dengan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) malam esok menjadi kenyataan apabila disahkan menerima Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) dua pemain import mereka, pagi semalam.

Kehadiran pemain muda dari Nigeria, Austin Amutu, 21 dan Gilmar Jose Dos Santos Filho, 27, (Brazil), dijangka mampu menyelesaikan masalah jentera serangan berikutan aksi hambar dua penyerang import sebelum ini.

Dua pemain itu akan digandingkan dengan seorang lagi penyerang import Kelantan, Erwin Carillo walaupun pemain dari Colombia itu masih dilanda kecederaan.

Perkhabaran baik itu disahkan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa menerusi laman sosial Facebook miliknya, semalam.

Annuar berkata, beliau tidak terbabit dalam pemilihan Amutu dan Dos Santos itu, sebaliknya penilaian dibuat ketua jurulatih Mohd Azraai Khor Abdullah dan pengurus pasukan Azman Ibrahim.

Katanya, pemilihan mereka diharap dapat mengubah kekuatan pasukan, seterusnya mengembalikan semula kegemilangan The Red Warriors (TRW) sebagai antara pasukan digeruni dalam persada Liga Malaysia ini.

“Saya setuju dengan pemilihan dua pemain itu walaupun membabitkan tambahan beban kewangan kepada KAFA, namun saya akur demi menyaingi pasukan lain yang dilihat semakin memperkasakan barisan pemain mereka.

“Apapun, saya masih yakin dengan kemampuan pemain tempatan seperti Mohd Norfarhan Muhammad, Ahmad Fakri Saarani dan Khairul Izuan yang kembali menunjukkan prestasi membanggakan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim (Kelate.net), Mahizi Mahmood ketika dihubungi berkata, pihaknya menyambut baik langkah drastik KAFA menggantikan segera penyerang import itu.

“Sebagai penyokong, kita memang mahukan yang terbaik. Segala keputusan sama ada menang atau kalah, penyokong mestilah memberi sokongan padu.

“Saya yakin Kelantan akan kembali ke landasan terbaik seterusnya keluar daripada zon penyingkiran ke Liga Perdana,” katanya yang meminta penyokong supaya menghentikan segala cemuhan terhadap pemain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2015 @ 10:01 AM