PEMAIN Kelantan Khairul Izuan (kiri) bersaing dengan  pertahanan Terengganu, Vincent Bikana (kanan) pada  aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad ke IV.
PEMAIN Kelantan Khairul Izuan (kiri) bersaing dengan pertahanan Terengganu, Vincent Bikana (kanan) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad ke IV.

Kota Bharu: Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) perlu mencari jalan penyelesaian terbaik dalam merungkai masalah dalaman yang kini dikatakan wujud kem tertentu.

Selain dibimbangi boleh menjejaskan prestasi pasukan yang masih belum stabil, ia juga mewujudkan pandangan kurang baik dalam kalangan penyokong.

Presiden Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim (Kelate.net) Mahizi Mahmood berkata, laporan media yang mendakwa wujud perbalahan antara penaja dan kepimpinan KAFA tidak akan selesai jika masing-masing saling menegakkan benang yang basah.

Katanya, seharusnya semua pihak terbabit perlu duduk semeja dan mencari jalan penyelesaian tanpa campur tangan orang luar yang boleh mensensasikan cerita itu.

Katanya, peminat skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQP TRW) hanya mahukan pasukan mempamerkan aksi terbaik dan memperoleh keputusan terbaik, bukan isu lain yang boleh mencemar nama baik.

“Pada saya, ini bukan perbalahan, cuma mereka berbincang. Mungkin saluran yang mereka gunakan (bercakap dalam media) bukan medium yang tepat.

“Cadangan saya biar KAFA dan penaja duduk semeja untuk mengenal pasti punca masalah dan mencari jalan penyelesaian terbaik demi pasukan.

“Tidak perlu banyak bunyi dalam media dan ia juga tidak mengelirukan penyokong,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2016 @ 5:51 AM