MANDZUKIC (tengah) ledak hatrik.
MANDZUKIC (tengah) ledak hatrik.

Madrid: Atletico Madrid yakin mereka mampu mengatasi semua pesaing selepas naib juara musim lalu itu melangkah bergaya ke peringkat kalah mati walaupun masih berbaki satu perlawanan.

Wira yang meledak hatrik awal pagi semalam, Mario Mandzukic muncul pemain pertama yang menjaringkan tiga gol buat kelab La Liga itu dalam saingan Liga Juara-Juara dan mangsa mereka kali ini ialah Olympiakos Piraeus.

Kemenangan 4-0 di dalam Kumpulan A di Calderon itu membolehkan Atletico ke kelompok 16 pasukan terakhir dan jika mereka berjaya mengelak daripada dikalahkan Juventus bulan depan, kedudukan selaku juara kumpulan sudah pasti menjadi milik mereka, sekali gus mengelak daripada bertemu mana-mana juara kumpulan lain.

“Di peringkat kalah mati, peluang adalah 50-50, tetapi kami sudah membuktikan bahawa kami sebuah pasukan hebat. Sesiapapun tidak boleh meramalkan apa-apa,” kata penyerang berusia 28 tahun itu.

“Kami mampu menewaskan sesiapa saja. Kami menikmati perlawanan ini dan menang. Itulah yang paling penting.”

Pemain tengah Atletico Raul Garcia yang membuka jaringan pasukannya awal pagi semalam, menolak andaian yang menyebut bahawa pasukannya akan bermain untuk seri ketika menentang Juve nanti.

“Kami akan ke Turin dengan impian untuk menang dan menduduki tangga teratas,” katanya. “Apa yang kami lakukan ketika ini ialah untuk memastikan kami dapat berada di kedudukan itu.” - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 November 2014 @ 6:26 AM