MUHAMMAD Asyraf didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan pemalsuan dokumen terhadap Perkeso bernilai lebih RM80,000. FOTO Aswadi Alias
MUHAMMAD Asyraf didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan pemalsuan dokumen terhadap Perkeso bernilai lebih RM80,000. FOTO Aswadi Alias
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Bekas pengarah syarikat membaiki barangan elektrik didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pemalsuan dokumen terhadap Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berhubung subsidi upah bernilai lebih RM88,000.

Bagaimanapun, tertuduh, Muhammad Asyraf Rizal, 26, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Azrul Darus.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Asyraf didakwa menggunakan satu dokumen iaitu borang permohonan program subsidi upah atas nama sebuah syarikat berjumlah RM88,200 di mana tertuduh tahu bahawa dokumen itu palsu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bahagian Insurans Pekerjaan, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), di Putrajaya pada 16 Jun 2020.

Justeru pertuduhan dikemukakan Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rais Adha Ramli menawarkan jaminan sebanyak RM80,000 berserta syarat tambahan tertuduh perlu hadir di Pejabat SPRM di Johor Bahru sebulan sekali sehingga kes selesai.

Bagaimanapun peguam Siti Nabila Hamzah yang mewakili Muhammad Asyraf memohon jaminan rendah berikutan anak guamnya penanggung utama keluarga yang kini bekerja di Singapura selain menanggung kos perubatan datuk dan neneknya.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Azrul membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.

Mahkamah juga menetapkan 2 Ogos ini sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 12:55 PM