AFP

Madrid: Barcelona boleh melengkapkan minggu cemerlang dengan merangkul kejuaraan La Liga ke-23 dan membalas dendam terhadap Atletico Madrid kerana kalah perlawanan penentuan kejuaraan musim lalu di Vicente Calderon, awal pagi Isnin ini.

Cadangan mogok pemain mengancam jadual La Liga hujung minggu ini, namun ancaman itu ditarik balik kelmarin apabila Mahkamah Nasional Sepanyol merumuskan mogok akan ‘mencetus kacau-bilau serius’ menjelang hujung musim.

Atletico menang liga selepas seri 1-1 di Nou Camp pada 17 Mei tahun lalu dan Barca boleh mengubah keputusan itu genap setahun kemudian selagi mereka mengatasi keputusan perlawanan Real Madrid di Espanyol.

Anak buah Luis Enrique kekal berpeluang meraih tiga trofi apabila memastikan tempat ke final Liga Juara-Juara menentang Juventus awal bulan depan, sekalipun kalah kali pertama dalam 19 perlawanan 2-3 kepada Bayern Munich di laman lawan awal pagi Rabu lalu sebelum layak 5-3 secara agregat.

“Kami hanya perlu menang satu perlawanan dalam setiap pertandingan untuk muncul juara,” kata Enrique.

“Perasaan kami amat positif. Ia saat yang hebat, tapi kini kami perlu melunaskannya.”

Bagaimanapun, Atletico juga hanya perlu menang satu perlawanan untuk memastikan tangga ketiga dan mengelak daripada beraksi pada kelayakan Liga Juara-Juara, Ogos ini.

Fernando Torres hadir daripada bangku simpanan untuk menjaringkan gol penyamaan ketika seri 2-2 dengan Levante hujung minggu lalu yang memastikan empat tangga teratas buat anak buah Diego Simeone, namun pengendali dari Argentina itu menegaskan beliau tidak mahu Barcelona meraikan kejuaraan di Calderon.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2015 @ 5:11 AM