SHAHZ Jaszle bersama bayinya.
SHAHZ Jaszle bersama bayinya.
Ramlah Zainal

Kuala Lumpur: Pelakon Shahz Jaszle bersyukur isterinya, Nur Hanis Husna selamat melahirkan anak ketiga mereka juga bayi perempuan diberi nama Aurora Jane secara normal di sebuah pusat perubatan swasta di sini, seminggu lalu.

Shahz atau nama sebenarnya, Muhammad Shahrizal Jaszle Jasmin, 36, berkata, kehadiran Aurora Jane melengkapkan lagi kebahagiaan rumah tangganya itu.

Kata Shahz, isterinya juga melahirkan bayi perempuan mereka lebih awal dari tarikh 17 Jun yang dijangka oleh doktor pakar yang merawatnya.

"Saya tengah 'shooting' (penggambaran) drama bersiri 12 episod Senyawa arahan Eyra Rahman (Eyra) bila isteri hubungi beritahu 'stand by' sebab dia dah nak bersalin.

"Terima kasih kepada pengarah, Eyra yang faham dan benarkan saya pulang ke rumah untuk menemani isteri di wad bersalin ketika itu.

"Alhamdulillah, selepas bertarung selama enam jam, akhirnya isteri selamat melahirkan bayi perempuan kami," katanya kepada Harian Metro.

Mengenai anak lagi, kata Shahz, mereka memang sudah sedia untuk menambah anak selepas isteri mengalami keguguran kira-kira dua tahun yang lalu.

"Kami merancang untuk memiliki empat anak tetapi isteri pula mengalami keguguran sebelum ini.

"Anak sulung kami sudah berusia sembilan tahun dan yang kedua berusia tujuh tahun. Jadi jarak usia anak nombor tiga ini dengan anak kedua ialah tujuh tahun," katanya.

Ditanya mengenai anak ketiganya itu, kata Shahz, mereka juga berasa agak kekok kerana sudah lama tiada bayi di rumah.

"Kami juga terpaksa buat persiapan menyambut bayi perempuan ini dari awal semula kerana semua barangan dan kelengkapan anak sebelum ini sudah diberikan pada orang.

"Aurora juga dilahirkan dengan berat 2.7 kilogram dan isteri juga perlu menyusukannya dengan susu badan setiap dua jam," katanya.

Terdahulu, Shahz berkongsi berita gembira isterinya selamat melahirkan anak ketiganya itu kepada pengikut di laman Instagram (IG) miliknya, Sabtu lalu.

Dalam perkongsian itu, Shahz turut berkongsi perjalanan isterinya itu dari bayi mereka mula membuat pemeriksaan sehingga selesai proses bersalin.

"Syukur Alhamdulillah. Selamat datang ke dunia baru sayangku Aurora," kongsinya.

Untuk rekod, Shahz mendirikan rumah tangga bersama Nur Hanis Husna pada 2015 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Alana Jasmeen, sembilan dan Ayden Jasreen, tujuh tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 12:43 PM