ANCELOTTI (kiri) beri arahan kepada Bale.
ANCELOTTI (kiri) beri arahan kepada Bale.
AFP

Madrid: Jurulatih Real Madrid Carlo Ancelotti percaya ketumpulan jentera serangan pasukannya mengakibatkan mereka perlu bekerja lebih keras jika mahu layak ke suku akhir Copa del Rey gara-gara kekalahan 2-0 di tangan Atletico Madrid.

Anak buah Ancelotti itu sudah berdepan dua kekalahan berturut-turut sejak rekod 22 kemenangan mereka dileburkan hujung tahun lalu dan tiga daripada lima kekalahan musim ini hadir di tangan juara Sepanyol.

Kedua-dua pasukan akan mengharungi perlawanan kedua di Santiago Bernabeu, 15 Januari ini.

“Saya rasa, untuk menganggap kami sedang dilanda krisis adalah sesuatu yang agak keterlaluan,” kata pengendali Itali itu.

“Kami menguasai perlawanan dengan baik hinggalah lawan dianugerahkan sepakan penalti dan kami tidak dapat menumpukan perhatian pada hujung permainan.

“Kami perlukan lebih ketajaman di depan gawang lawan. Kami cuma bertukar hantaran manakala Atletico bertahan dengan baik. Mereka bertahan sebagai satu pasukan dan kami sukar memecahkannya.”

Ancelotti meletakkan Cristiano Ronaldo di bangku simpanan tetapi tiga penyerang berbisanya, Gareth Bale, James Rodriguez dan Karim Benzema semuanya bermain.

Pemain Terbaik Dunia itu terpaksa dimasukkan selepas Raul Garcia meletakkan Atletico di depan menerusi sepakan penalti ketika permainan berlangsung selama sejam tetapi kehadiran Ronaldo tidak memberikan impak besar sedangkan tuan rumah menggandakan kelebihan menerusi tandukan Jose Gimenez pada minit ke-77.

“Ronaldo keletihan dan adalah berisiko untuk kami menurunkannya selama 90 minit,” kata Ancelotti.

“Kami masih ada peluang walaupun jelas Atletico memiliki kelebihan. Bermain di gelanggang sendiri memungkinkan kami untuk menang. Kelebihan bukan milik kami tetapi kami akan cuba yang terbaik.”

Kehadiran semula Fernando Torres ke Atletico disambut meriah oleh peminat di Stadium Vicente Calderon.

Torres gembira apabila aksi pertamanya bermula dengan kemenangan walaupun dia masih belum dapat mempamer aksi sebenarnya.

“Banyak sebab untuk saya gembira,” kata bekas penggempur Liverpool dan Chelsea itu.

“Keputusan, suasana, peminat dan semuanya. Kemenangan 2-0 ini memberikan kami peluang tetapi ia mungkin tidak cukup untuk dijadikan bekalan selesa di Bernabeu. Di situ nanti, 90 minit pasti terasa sangat lama.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 January 2015 @ 6:00 AM