CHEF Wan. FOTO Arkib NSTP
CHEF Wan. FOTO Arkib NSTP

Kuala Lumpur: Cef selebriti, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan menerima keputusan mahkamah dan mengakui sudah letih dengan pelbagai isu membabitkan anak dan menantunya.

Menerusi hantaran di media sosial, Chef Wan memandang situasi yang berlaku dari sudut positif dan kini boleh meneruskan kehidupannya lebih bahagia.

"Untuk ini, saya menerima keputusan mahkamah. Letih sudah saya menanggung drama minggu ini dengan anak-anak dan keluarga saya. Ia sangat melelahkan!

"Kadang-kadang hidup ini tidak adil bagi bapa mentua yang hanya ingin menegakkan kebenaran. Tak apalah.

"Yang baiknya, akhirnya kami berjaya menyingkirkannya dari hidup kami dan anak perempuan saya kini lebih bahagia. Alhamdulillah," katanya.

Perlu membayar RM150,000 ganti rugi kepada bekas menantunya, Gavin Edward O'Luanaigh, Chef Wan menganggap bahawa kebahagiaan dan ketenangan hati lebih utama berbanding wang.

"Duit itu bagi saya hanya setitik di lautan dan esok ada rezeki kita kerja dapat balik. Yang lebih penting dalam hidup kita adalah kita mesti mengelakkan semua drama dan orang yang tidak bertanggungjawab dalam hidup kita.

"Jika di akhirat nanti disoal jawab bersama Allah, jika saya masih menjadi orang terakhir yang mengatakan kebenaran, saya akan tetap melakukannya.

"Dengan berita ini, saya sebenarnya gembira kerana saya boleh mula meneruskan hidup saya," katanya.

Chef Wan juga berharap agar kisah hidupnya ini menjadi pengajaran buat semua yang bergelar lelaki dalam keluarga.

"Biarlah cerita hidup saya ini menjadi pengajaran kepada semua lelaki yang ingin menjadi suami dan bapa kepada anak-anak mereka mengenai tanggungjawab dan kesetiaan kepada isteri mereka!

"Akibat drama anak-anak dan menantu, akhirnya bapa mentua juga yang tersepit dan terpaksa menanggung semua ini.

"Tidakkah anda fikir kisah hidup saya ini layak dijadikan filem yang hebat? Balik modal dan box office lagi!" katanya.

Dalam hantaran sama, Chef Wan turut berkongsi mengenai kronologi kes saman menyaman dengan bekas menantunya itu.

"Malam tadi saya dimaklumkan oleh peguam saya, berita terkini mengenai rayuan yang dibuat selepas dia kalah dalam kes di Mahkamah Tinggi tahun lepas.

"Kami sudah memperjuangkan kes ini lebih dari tiga tahun kalau saya tidak silap, membawa semua saksi. Akibatnya, saya memenangi kes ini dan saya diberikan RM25,000.

"Saya mengambil wang itu dan menambah RM60,000 daripada wang saya sendiri dan mendermakan kesemuanya kepada Malaysia Cancer Research. Saya tidak mahu wangnya.

"Pada mulanya saya disaman sebanyak RM1 juta tetapi kerana saya tidak mahu membuang masa dengan pertikaian keluarga ini, saya menawarkan RM300,000 untuk menyelesaikan kes ini. Malangnya dia menolak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 1:10 PM