DATUK Seri Saifuddin Nasution. FOTO Bernama
DATUK Seri Saifuddin Nasution. FOTO Bernama
Raja Noraina Raja Rahim


Putrajaya: Kerajaan akan memperhalusi pindaan terhadap Kanun Tatacara Jenayah dan Kanun Keseksaan bagi menangani kes jenayah siber yang semakin meningkat, seiring perkembangan teknologi dan kompleksiti jenayah berkenaan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia hasil perbincangan bersama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mencadangkan pindaan dilakukan terhadap undang-undang itu.

Bagaimanapun, katanya, kementerian perlu mendapatkan kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk Bank Negara Malaysia (BNM).

"Kita ada kekangan dari segi undang-undang sedia ada, harus melihat semula kuasa polis terutama pegawai penyiasat yang terhad berdasarkan kepada undang-undang sedia ada.

"Berikutan itu, ada kewajaran untuk PDRM dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) melihat kembali (undang-undang sedia ada).

"Idea ini sudah pernah diangkat sekitar 2018 dan 2019 kerana sudah dijangka trend jenayah komersial yang semakin mencabar dengan kekuatan pasukan selain kekangan undang-undang.

"Trend penipuan semakin canggih dan sofistikated sudah tentu berpeluk tubuh bukan satu pilihan," katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan KDN di sini, hari ini.

Selain itu, Saifuddin berkata, kerajaan juga akan mempertimbangkan cadangan menambah keanggotaan di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), bagi memperkasa pasukan berkenaan.

Katanya, ketika ini JSJK mempunyai kira-kira 2,216 pegawai dan anggota seluruh negara ditugaskan menangani jenayah komersial yang semakin mencabar.

"Semalam saya diberi taklimat oleh Datuk Seri Ramli (Pengarah JSJK Bukit Aman) mengenai trend jenayah komersial yang semakin meningkat menyebabkan kerugian wang ringgit bukan sedikit, kerana itu ada keperluan mendesak terutama untuk memperkasakan JSJK.

"Saya akan bawa ke peringkat tertinggi dengan berbincang bersama Ketua Polis Negara, Timbalan Ketua Polis Negara, KSU (Ketua Setiausaha), JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) dan KSN.

"Mudah-mudahan kita ada kaedah sama ada membuat permohonan perjawatan baharu atau memanfaatkan kekuatan dalaman sedia ada dengan beberapa pengubahsuaian," katanya.

Beliau berkata, perkara itu menjadi perhatian pihaknya bagi mengekang jenayah berkenaan di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 12:48 PM