INTAN dan Zul 2By2.
INTAN dan Zul 2By2.
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Penyanyi Intan Maya, 41, dan suaminya komposer Zul (2By2), 52, masih berhasrat memiliki seorang cahaya mata sekiranya ditakdirkan mempunyai rezeki.

Intan Maya yang juga bekas anggota The Girls berkata, pengalaman dua kali keguguran memasuki tiga bulan kahwin sebelum ini tidak mematahkan semangatnya untuk memiliki anak hasil dari perkahwinan ini.

"Tak dinafikan selepas keguguran saya jadi takut untuk mengandung. Tapi keinginan itu ada. Jadi apabila betul-betul dah sihat dan kalau ada rezeki, memang kami nak seorang anak.

"Ini pun saya bersyukur dah lama tak sakit. Tapi gangguan mistik dan kejadian misteri tetap ada macam sebelum ini.

"Tiba-tiba satu rumah bau bangkai binatang. Apabila saya buka mengaji, bau itu pun hilang. Kadangkala masak nasi tiba-tiba basi. Bila berlaku macam ini saja, saya pasti jatuh sakit," katanya kepada Harian Metro.

Intan Maya dan Zul berkahwin pada 22 Februari 2022 dan ia perkahwinan kedua mereka selepas kegagalan perkahwinan pertama dengan pasangan masing-masing.

Mereka masing-masing mempunyai anak yang sudah meningkat dewasa di mana Intan Maya mempunyai empat anak, manakala Zul memiliki lima anak.

"Semasa keguguran dulu, abang Zul banyak beri kata-kata semangat dan sabarkan saya. Anak abang Zul semuanya dah dewasa dan anak kembar saya juga dah dewasa.

"Ada yang tingkatan dua dan paling kecil Darjah 5. Dialah yang sibuk minta adik. Anak-anak saya bukan jenis main dekat luar rumah. Mereka banyak habis masa dalam rumah.

"Saya sendiri memang tak berani nak bagi anak-anak keluar walaupun dah besar. Jadi itu punca dia nak adik. Saya tak dapat cakap apa-apa kecuali minta dia bersabar tunggu rezeki.

"Yang lucunya, mereka kata dah atur jadual untuk jaga baby. Kami berdua hanya ketawa dengan gelagat mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 12:50 PM