SORIANO (dua dari kanan) meraikan jaringan lewat perlawanan.
SORIANO (dua dari kanan) meraikan jaringan lewat perlawanan.
AFP

Madrid: Villarreal kembali menghidupkan peluang tipis layak ke Liga Juara-Juara musim depan apabila gol kemenangan lewat Roberto Soriano membantu mereka mengejutkan Atletico Madrid 1-0 di Vicente Calderon, awal pagi semalam.

Tidak hairan pertarungan antara dua benteng pertahanan terbaik La Liga itu berakhir dengan satu gol saja apabila pemain Itali menyempurnakan hantaran lintang Cedric Bakambu lapan minit sebelum tamat.

Kemenangan itu membolehkan Villarreal melonjak lima mata di belakang pasukan tangga keempat Sevilla, yang beraksi kurang satu perlawanan dan lapan mata di belakang pasukan tangga ketiga Atletico.

Atletico menguasai majoriti saingan dan peluang namun kecewa berikutan persembahan cemerlang Andres Fernandez di pintu gol Villarreal.

“Banyak kali kami menang dengan cara ini tapi hari ini giliran kami kalah,” ujar bos Atletico, Diego Simeone.

“Kami bermain dengan baik dan mencari gol sepanjang perlawanan tapi bola tidak mahu masuk.”

Fernandez bertindak cemerlang menyelamatkan dua percubaan Angel Correa pada babak awal sebelum menafikan tandukan kencang Saul Niguez.

Penjaga gawang Villarreal itu turut mengecewakan Antoine Griezmann dan Nico Gaitan sebelum rehat.

Gaitan kemudian mencipta peluang terbaik Atletico pada awal babak kedua. Bagaimanapun dia gagal menggunakan kesempatan diturunkan dalam kesebelasan utama oleh Simeone apabila dia dinafikan oleh Fernandez.

Soriano patut bertindak lebih baik dengan percubaannya dihadang Diego Godin 12 minit sebelum tamat.

Namun dia menebus kesilapan itu empat minit kemudian apabila menampan masuk hantaran lintang Bakambu bagi mencetus kekalahan kedua Atletico dalam liga sejak kedua-dua pasukan bertemu kali terakhir Disember lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 April 2017 @ 9:41 AM