REAKSI Juanfran (kanan) selepas menjaringkan penalti terakhir.
REAKSI Juanfran (kanan) selepas menjaringkan penalti terakhir.

Madrid: Atletico Madrid menewaskan PSV Eindhoven 8-7 menerusi penentuan penalti semalam untuk mara ke suku akhir Liga Juara-Juara buat musim ketiga berturut-turut.

Juanfran menjaringkan gol penalti penentuan buat Atletico selepas percubaan Luciano Narsingh sebelum itu terkena palang.

Selepas perlawanan yang menyaksikan kedua-dua pasukan mempunyai peluang, mereka mengulangi keputusan seri 0-0 daripada perlawanan pertama sebaik tamat masa sebenar aksi namun gagal meraih jaringan pada masa tambahan. Biarpun kelebihan berpihak kepada Atletico namun mereka gagal memanfaatkan peluang yang ada.

Pada penentuan penalti itu, pemain kedua-dua pasukan menjaringkan gol sehingga sepakan Narsingh melepasi palang dan disambut sorakan penyokong yang memenuhi Stadium Vicente Calderon.

Juanfran kemudiannya meledakkan penalti terakhir dan berlari menuju ke bendera sepakan sudut untuk meraikannya di depan penyokong, disusuli rakan sepasukannya.

“Ia membuat jantung berhenti berdegup,” kata Juanfran.

“Saya amat gembira dapat melihat bagaimana reaksi penyokong. Kami percaya, jurulatih membuatkan kami percaya boleh melakukannya. Kami juga mempunyai keinginan dan semangat tinggi, percaya dengan apa yang dilakukan.”

Ini kali pertama aksi kalah mati Liga Juara-Juara berakhir dengan penentuan penalti selepas tanpa sebarang jaringan kedua-dua perlawanan.

Penalti paling banyak dijaringkan untuk menentukan pemenang perlawanan Liga Juara-Juara adalah pada pusingan kelayakan 1993-94 dengan kelab Skonto dari Latvia menewaskan Olimpija Ljubljana dari Slovenia 11-10.

“Di sebalik penalti kemenangan Juanfran adalah kerja keras ramai pihak dan kami amat teruja berada di suku akhir,” kata jurulatih Atletico Diego Simeone.

“Kami akan terus berjuang dan tidak akan memandang rendah apa yang diharungi untuk menyertai lapan pasukan terakhir.”

Atletico turut mara menerusi penentuan penalti pada pusingan 16 terakhir musim lalu dengan menewaskan Bayer Leverkusen 3-2.

“Pemain kepenatan tapi kami bangga dengan apa yang dilakukan,” kata Fernando Torres, salah seorang penjaring penalti di Madrid.

“Apa yang penting kami mara ke pusingan berikutnya. Anda mengambil penalti, tahu apa yang dilakukan seperti yang kami lakukan musim lalu.

“Kami tidak mensia-siakan satu sepakan dan ia membuktikan karakter pasukan terutama pemain muda.” - AP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2016 @ 10:28 AM