KEADAAN lori yang terjunam ke dalam lubang jalan mendap berhampiran jambatan Bailey Rabu lalu. FOTO Ihsan PDRM
KEADAAN lori yang terjunam ke dalam lubang jalan mendap berhampiran jambatan Bailey Rabu lalu. FOTO Ihsan PDRM
BERNAMA

Kuantan: Pelan Pengurusan Trafik (TMP) bagi Laluan Persekutuan (FT12) di Seksyen 102 Lebuhraya Kuantan-Segamat dilaksanakan dari kedua-dua arah bagi meningkatkan tahap keselamatan selain sebagai makluman dan amaran awal kepada pengguna.

Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam kenyataan memaklumkan TMP yang dipasang adalah mengikut prosedur dan spesifikasi iaitu penyediaan papan tanda sementara (lencongan, had laju dan had muatan), penyediaan garisan jalan sementara serta penghadang jalan.

"JKR juga sudah menyediakan beberapa inisiatif tambahan seperti mengadakan speed bump bagi mengurangkan had laju kenderaan dan memasang lampu solar di sekitar laluan lencongan untuk meningkatkan pencahayaan serta tahap keselamatan terutamanya pada waktu malam," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai maklum balas berkenaan kemalangan di laluan lencongan sementara tersebut membabitkan seorang lelaki meninggal dunia di lokasi kejadian selepas lori dipandunya terbabas dan terjunam masuk ke lubang jalan yang mendap berhampiran jambatan Bailey Rabu lalu.

Pada awal Januari lalu, laluan berkenaan ditutup kepada semua kenderaan berikutan mendapan struktur bebo arch culvert akibat banjir dan susulan itu, satu laluan lencongan dan jambatan sementara (jambatan Bailey) dibina bagi memastikan rangkaian perhubungan jalan raya tidak terputus.

Menurut kenyataan itu JKR menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan itu dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

JKR juga memaklumkan pihaknya sedang melaksanakan proses perolehan bagi kerja penggantian jambatan kekal di lokasi itu, selain memohon semua pengguna jalan raya di laluan itu lebih berhati-hati serta mematuhi papan tanda dan had laju yang ditetapkan demi keselamatan bersama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 1:03 PM