REAKSI Scaloni ketika sidang media selepas tamat perlawanan menentang Kanada.  FOTO AFP
REAKSI Scaloni ketika sidang media selepas tamat perlawanan menentang Kanada. FOTO AFP
Reuters

Atlanta: Ketua jurulatih Argentina Lionel Scaloni mengkritik padang yang digunakan ketika pasukannya menentang Kanada pada aksi pembukaan Copa Amerika pagi tadi.

Juara dunia itu menewaskan Kanada 2-0 menerusi jaringan Julian Alvarez dan Lautaro Martinez pada babak kedua dalam misi mereka mempertahankan gelaran.

Namun Scaloni tetap tidak gembira dengan keadaan padang yang dihadapi pemainnya apabila menganggap ia tidak sesuai untuk kejohanan besar.

Padang di Stadium Mercedes-Benz yang menjadi venue Atlanta Falcons (NFL) dan Atlanta United (MLS) sepatutnya menggunakan rumput tiruan seperti kebiasaan tetapi penganjur sebaliknya memasang rumput diatasnya untuk kejohanan itu.

Argentina tampak kurang lancar pada babak pertama sama seperti ketika aksi pembukaan Piala Dunia 2022 ketika mereka tewas mengejut 1-2 di tangan Arab Saudi.

"Mujur kami menang, jika tidak ia akan menjadi alasan dangkal. Kami sudah tahu bermain di sini sejak tujuh bulan lalu dan mereka mengubah keadaan padang dua hari lalu.

"Ia tidak bagus untuk perlawanan. Stadium ini cantik dan dengan padang sintetik pasti aksi lebih menarik. Tetapi hari ini ia tidak sesuai untuk pemain," kata Scaloni.

Rumput itu dipasang selepas aksi terakhir Atlanta United pada 15 Jun.

Menurut Scaloni, permukaan itu menyukarkan pemainnya beraksi seperti biasa dan terpaksa menggunakan pendekatan lebih taktikal.

"Mereka tidak begitu yakin dengan keadaan padang dan tidak dapat menghantar bola yang dimahukan. Tidak banyak yang dapat kami lakukan."

Penjaga gol Emiliano Martinez ketika sidang media selepas tamat perlawanan turut tidak berpuas hati dengan keadaan padang.

"Datang ke sini, menentang pasukan kuat seperti Kanada yang mempunyai skuad mantap dan beraksi di atas padang teruk pastinya menyukarkan kami," katanya.

Dalam pada itu, jurulatih Kanada Jesse Marsch tetap gembira dengan kemampuannya bersaing dengan juara dunia itu.

"Kami beraksi tanpa takut. Saya fikir kami banya belajar daripada perlawanan hari ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 12:17 PM