Madrid: Antoine Griezmann (gambar) menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-93 sekali gus membolehkan Atletico Madrid layak ke pusingan kedua Liga Juara-Juara menerusi kemenangan 2-1 ke atas FC Rostov di Vicente Calderon.

Rembatan voli Griezmann ketika permainan hampir memasuki tempoh sejam, memberikan pendahuluan buat Atletico tetapi Rostov mengikat kedudukan menerusi Sardar Azmoun.

Atletico bergelut untuk mencipta peluang tetapi berjaya memecah kebuntuan ketika masa kecederaan menerusi rembatan Griezmann walaupun pemain Rostov membantah keputusan itu dengan alasan penyerang terbabit berada dalam kedudukan ofsaid.

“Taktik mereka seolah-olah serupa dengan apa yang kami amalkan. Mereka bertahan dan membuat serangan balas pantas dengan baik. Mereka menyukarkan kami tapi apa yang penting tiga mata dan kami gembira dengan keputusan ini,” kata Griezmann.

Kemenangan itu membolehkan Atletico menduduki tangga teratas Kumpulan D, tiga mata di depan Bayern Munich.

Kelab Jerman itu turut layak ke peringkat kalah mati menerusi kemenangan 2-1 ke atas PSV Eindhoven.

“Kami di tangga teratas tapi masih ada baki dua perlawanan dan kami perlu berusaha memenanginya bagi memastikan kami kekal di kedudukan sekarang,” ujar Griezmann. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2016 @ 11:40 AM