CUADRADO (kiri) jaring gol pertama Juve. -Foto AFP
CUADRADO (kiri) jaring gol pertama Juve. -Foto AFP
AFP

PIRAEUS (Greece): Juan Cuadrado dan Federico Bernardeschi masing-masing menjaringkan gol pada setiap babak ketika Juventus mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara awal pagi tadi dengan kemenangan 2-0 mengatasi Olympiakos di Piraeus.

Pemain antarabangsa Colombia, Cuadrado menyudahkan hantaran lintang Alex Sandro selepas 15 minit permainan dengan pemain Itali, Bernardeschi mendapatkan gol kedua pada minit terakhir ketika pasukan yang layak ke final tahun lalu itu mara ke kelompok 16 terakhir buat kali keempat berturut-turut.

Skuad kendalian Massimiliano Allegri perlu menang bagi mengesahkan kemaraan walaupun seri atau kalah juga sudah memadai buat juara enam kali Serie A itu bergantung kepada keputusan lain dalam Kumpulan D.

Namun Barcelona mengatasi Sporting Lisbon 2-0 untuk mara selesa selaku juara kumpulan dengan 14 mata, diikuti Juventus kedua dengan 11 mata dan Sporting (tujuh mata) serta Olympiakos di kedudukan terbawah dengan hanya satu mata.

“Ia seperti final, kami perlu menang jadi kami tidak perlu menunggu keputusan Barcelona,” kata Allegri. “Namun kami perlu meningkat dan menjadi lebih tajam menyempurnakan peluang.

“Kami tersilap pada babak kedua, jadi saya sangat marah. Szczesny beraksi baik dan kami boleh terikat 1-1 sebelum rehat,” kata jurulatih Juventus itu kepada Mediaset Premium.

Kapten Juve dan penjaga gol, Gianluigi Buffon tidak bermain kerana cedera dengan penolongnya yang juga penjaga gol Poland, Wojciech Szczesny terbukti pengganti yang sesuai melakukan aksi menyelamat baik dalam penampilan pertama Liga Juara-Juara bersama kelab Turin itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2017 @ 10:58 AM