Siti Aminah Mohd Yusof

Georgetown: Seorang mekanik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan cubaan membunuh seorang lelaki dipercayai tunang bekas isterinya menggunakan pisau lipat pada 10 Jun lalu.

Tertuduh, Muhammad Hafizi Burhan, 33, membuat pengakuan itu dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ooi Sheow Yean.

Lelaki terbabit didakwa dengan niat menyebabkan kematian ke atas Mohariez Mokhtar dengan menikamnya menggunakan sebilah pisau lipat berwarna perak berukuran kira-kira lima sentimeter dan dengan itu telah melakukan kesalahan cubaan bunuh.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di koridor tingkat 9 Flat Taman Jade View, Jalan Bukit Gambir yang terletak dalam Daerah Timur Laut pada 5.50 pagi, 10 Jun lalu.

Bapa kepada dua anak itu didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Mahkamah tidak menawarkan jaminan dan menetapkan 24 Julai depan sebagai tarikh serahan dokumen dan lantikan peguam.

Sementara itu, Muhammad Hafizi turut berdepan dengan dua lagi pertuduhan secara berasingan di Mahkamah Majistret Jenayah 2 dan 3 pada hari ini.

MUHAMMAD Hafizi ketika hadir ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan membabitkan cubaan membunuh. FOTO Mikail Ong
MUHAMMAD Hafizi ketika hadir ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan membabitkan cubaan membunuh. FOTO Mikail Ong

Di Mahkamah Majistret Jenayah 3, Muhammad Hafizi mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap bekas isterinya, Asma Wahab.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di lokasi sama iaitu Flat Taman Jade View, Jalan Bukit Gambir pada 30 Mei lalu, kira-kira 7 pagi.

Pendakwaan terhadap tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 24 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes.

Di Mahkamah Majistret Jenayah 2, Majistret Mohamad Azlan Basir menjatuhkan hukuman penjara 15 bulan terhadap Muhammad Hafizi selepas dia mengaku bersalah melakukan khianat memecahkan cermin kereta bekas isterinya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 2 April lalu kira-kira 10.10 malam di hadapan Apartment Taman Jade, Jalan Bukit Gambir membabitkan kerugian RM1,500 yang terpaksa ditanggung Asma.

Pendakwaan terhadap tertuduh dilakukan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 12:42 PM